Ella bahagia selepas berkahwin



Mencecah usia sebulan meledani kehidupan sebagai isteri kepada Azhar Ghazali, ratu rock negara, Ella memberitahu dia seronok memegang status tersebut.

Baginya, banyak perubahan positif yang telah berlaku dalam hidupnya, terutama tentang proses melepaskan zaman solo kepada zaman hidup berdua yang perlu mendapat restu suami dan perkongsian dalam segala hal.

“Alhamdulillah, saya bahagia  dan seronok menjadi seorang isteri,” katanya ringkas sewaktu ditemui dalam program rakaman raya Mentor baru-baru ini. Tambahnya lagi, dia kini sedang dalam proses belajar banyak perkara baharu terutama yang berkaitan rumah tangga.

Ceritanya: “Saya bersyukur kerana suami seorang yang sangat memahami. Kami masing-masing dalam proses belajar. Misalnya jika dulu saya mahu keluar rumah, tak perlu minta izin sesiapa, tetapi kini, ia perkara wajib yang saya lakukan dengan meminta izin daripada suami dan kami masih dalam proses menambah baik segala hal yang positif untuk rumah tangga kami.”

Foto-foto pernikahan Ella, Azhar Ghazali
Ella menangis di majlis pernikahan


Bercakap tentang bulan Ramadan, Ella pantas memberitahu dia bersyukur kerana hasrat untuk menunaikan solat terawih bersama lelaki berstatus suami telah terlaksana. "Ia merupakan satu perkara yang cukup mengujakan saya. Kami sudah dapat solat terawih bersama walaupun masing-masing sibuk dengan kerjaya," katanya lagi.

Malah, penyanyi berusia 46 tahun itu juga memberitahu dia sudah pernah memasak sahur untuk suami tercinta dan bernasib baik kerana Azhar bukan seorang yang cerewet.

Ditanya tentang sambutan Aidilfitri, anak seni kelahiran Klang, Selangor itu menjelaskan, mereka belum membuat sebarang keputusan untuk pulang ke kediaman keluarga siapa terlebih dahulu.

“Semuanya masih dalam perancangan kerana kami terikat dengan jadual kerja masing-masing. Persiapan raya juga dilakukan dengan sederhana. Apa yang penting, kami seronok kerana bakal menyambut raya sebagai pasangan suami isteri buat pertama kali," katanya sambil tersenyum manja.

Ella dan Azhar bernikah pada 7 Julai lalu di kediaman keluarga Ella di Teluk Gadong, Klang, Selangor.