Advertisement

Enot: Doktor itu sangat biadap!

Enot: Doktor itu sangat biadap!

11 Jul – Pelakon dan bekas peserta rancangan realiti Masterchef Malaysia, Enot meluahkan rasa terkilannya terhadap seorang doktor yang pernah merawati penyakit kanser ususnya sebelum ini.

Aktres yang sinonim dengan watak-watak komedi ini memberitahu doktor tersebut melemparkan kata-kata negatif dengan menggunakan bahasa kesat berikutan dirinya yang enggan meneruskan rawatan kemoterapi dan radioterapi.

"Doktor itu sangat biadap. Dia cakap pergi matilah kau kalau tak nak buat (rawatan). Saya rasa dia tak patut cakap begitu terhadap diri saya.

"Saya tidak mahu teruskan rawatan berkenaan kerana tiada perubahan dan ada ahli keluarga yang menghadapi kanser namun masih tiada perubahan walaupun melakukan kemoterapi dan radioterapi," ujarnya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Program Raya Astro baru-baru ini.

Oleh yang demikian, Enot mula mencari alternatif lain dengan mencuba rawatan tradisional dan mengambil suplemen baru bermula tahun ini dan mengakui ada perubahan terhadap taraf kesihatannya.

"Alhamdulillah sekarang ini keadaan bertambah baik, lebih mudah dan senang untuk berdiri dan sakit sendi semakin berkurangan walaupun ubat tersebut sedikit panas," jelas Enot yang serik untuk berubat di hospital tersebut demi mengelakkan ubatan yang boleh memberi efek kepada buah pinggangnya.

Sementara itu, Enot juga bersyukur kerana masih ada yang sudi memberi peluang kepadanya untuk berlakon di dalam drama mahupun telemovie walau mereka tahu dirinya menghidapi kanser.

"Bila ada yang peka dengan keadaan saya yang macam ni, Alhamdulillah ada yang membantu dan panggil saya untuk berlakon walaupun sebelum ini tiada yang panggil, mungkin mereka ada pilihan lain," katanya yang berasa sedikit kecil hati dengan sesetengah pihak.

Selain sibuk dengan aktiviti penggambaran di bulan Ramadan, Enot juga masih aktif dengan bisnes biskut raya yang dijual secara 'online'.

"Pendapatan saya kini bergantung sepenuhnya kepada bisnes biskut dan kek serta lakonan secara kecil-kecilan. Saya buat kerja seorang diri jadi kini cuma ambil tempahan sikit-sikit sahaja tak sehebat dulu kerana masalah kesihatan," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Enot bakal menemui penonton dalam sebuah telemovie raya berjudul "Ecah Cookies vs Tipah Tailor" terbitan Astro dan bakal menyambut lebaran kali ini secara sederhana bersama anak-anak.