Fizz Fairuz cepat baran sejak isteri hamil

Fizz Fairuz cepat baran sejak isteri hamil

10 Jul – Selepas tiga bulan bergelar pasangan suami isteri, aktor Fizz Fairuz dan aktres Almy Nadia telah mendapat berita gembira apabila Almy disahkan hamil anak pertama mereka.

Walaupun usia kandungan baru memasuki minggu kelima, namun Fizz mendedahkan dia kini kerap bersikap baran dan percaya sikapnya itu kerana pembawakan anak dalam kandungan isterinya.

"Saya perasan apabila Almy hamil, saya bersikap sedikit baran. Ada juga orang ingat saya seperti kurang ajar, tapi sejujurnya kini saya selalu rasa macam nak mengamuk saja.

"Perkara tersebut tidak pula terjadi pada isteri (Almy), dia hanya akan rasa tidak larat dan sebu. Mungkin ini adalah pembawakkan budak dan perkara ini tidak lama," katanya yang ditemui selepas majlis pratonton filem "Mat Tudung" di TGV Wangsa Walk, semalam.

Dalam pada itu, Almy turut mengakui perubahan sikap suaminya itu apabila melihat Fizz kini cepat marah, malah suaminya juga sekarang ini kerap mengidam.

"Saya tidak mengidam, tetapi yang mengidamnya tu Fizz. Sejak hari pertama berpuasa sampai puasa ketiga Fizz mencari kuih badak berendam dan cuma jumpa kuih tersebut pada puasa keempat.

"Bukan itu sahaja, dua hari selepas itu Fizz beritahu saya yang dia mahu makan telur itik pula, jadi saya pun masaklah untuk dia."

Sementara itu, Almy berkata, dia tidak mahu mengambil kisah atau peduli dengan segelintir pihak yang mempersoalkan tentang kehamilan dan usia kandungannya.

"Saya kalau boleh tidak mahulah berita ini terlalu didedahkan kepada umum kerana macam-macam benda boleh terjadi. Bukannya saya sengaja tidak mahu kongsi mengenai perkara gembira ini dengan peminat, cuma saya ambil langkah berjaga-jaga.

"Sedangkan bila saya diam pun masih ada yang fitnah dan mempersoalkan tentang kehamilan saya, saya pun tak tahu apa salah saya, jadi biarkan saja."