Gwyneth Paltrow & Chris Martin kekal hubungan baik

Gwyneth Paltrow & Chris Martin kekal hubungan baik

12 Apr – Pasangan suami isteri selebriti Hollywood, Gwyneth Paltrow dan Chris Martin masih lagi mengekalkan hubungan baik mereka dan kelihatan mesra walaupun baru sahaja mengumumkan perpisahan pada 25 Mac lalu.

Menurut laporan People, satu sumber mengatakan Paltrow dan Martin kelihatan seperti bersama dan tidak berantakan ketika menghadiri sambutan hari lahir aktor "Iron Man", Robert Downey Jr. yang ke-49 pada Ahad lalu.

"Mereka kelihatan intim. Mereka bersama anak-anak, berpegangan tangan dan bergelak ketawa. Ia bukan seperti perpisahan atau perceraian biasa. Jika laporan tersebut tidak disiarkan, pasti anda akan beranggapan mereka adalah pasangan yang sempurna," ujar sumber tersebut.

Terdahulu aktres dan vokalis kumpulan Coldplay ini mengumumkan perpisahan mereka selepas 10 tahun perkahwinan.

"Kami sedar walaupun kami mencintai antara satu sama lain, kami akan tetap berpisah. Walaubagaimanapun kami akan kekal bersama sebagai keluarga dan mempunyai hubungan yang rapat," ujar pasangan ini dalam satu kenyataan.

Hasil daripada perkahwinan tersebut, Paltrow, 41, dan Martin,37, mempunyai dua orang anak iaitu Apple, 10, dan Moses, 8.

Pasangan ini berkahwin dalam satu upacara rahsia pada lewat 2003 dan telah berhadapan dengan khabar angin mengenai perpisahan sejak tahun 2008.