Advertisement

Hafiz Suip nafi ambil dadah

Hafiz Suip nafi ambil dadah

24 Apr – Penyanyi yang semakin kukuh namanya di persada seni tanah air, Hafiz Suip kini dipalit dengan dakwaan yang tidak berasas oleh sesetengah pihak kerana didakwa mengambil dadah kerana badannya yang kelihatan semakin kurus lewat kebelakangan ini.

Menurut laporan Malaysian Digest, Hafiz yang ditemui ketika membuat persembahan Minggu Setiausaha menjelaskan yang dia bersedia untuk menjalani ujian air kencing bagi membuktikan dirinya tidak terlibat dengan sebarang pengambilan dadah.

"Berat badan saya turun akibat daripada keletihan bekerja dan saya juga sedang dalam proses mengurangkan berat badan demi kebaikan imej dan penampilan sebagai seorang selebriti," jelasnya.

Hafiz turut menegaskan yang dadah boleh membunuh karier seninya dan tidak sesekali akan mendekati najis itu kerana kesannya yang sangat buruk.

Dalam pada itu, penyanyi yang berusia 23 tahun ini turut dikecam dengan dakwaan yang dia mengamalkan ilmu hitam demi memantapkan karier nyanyiannya di samping mendapat pelbagai tawaran membuat persembahan dan memenangi pelbagai anugerah.

"Dakwaan mengamal ilmu sihir itu sangat mengarut dan biarlah kita mencari rezeki dengan cara baik di atas usaha sendiri supada lebih diberkati," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Hafiz baru sahaja selesai membuat persembahan istimewa sempena Minggu Setiausaha yang diadakan di Pusat Konvensyen Matrade, Kuala Lumpur. Selain berduet dengan bekas kekasihnya, Adira, beliau turut bermain piano sambil menyanyikan sebuah lagu khas buat hadirin yang hadir.