Advertisement

Hanez Suraya dihentam jual syampu

Hanez Suraya dihentam jual syampu

14 Jul – Aktres Hanez Suraya Abdul Aziz mengakui kecewa apabila ada sesetengah pihak memandang rendah terhadap perniagaan syampu jenamanya sendiri, VLasy dengan mengaitkan kisah-kisah kontroversi yang pernah dilaluinya sebelum ini.

"Mereka ini tidak boleh tengok kita senang. Ada sahaja yang nak dihentamnya. Sepatutnya kita jangan memandang rendah kepada orang lain yang ingin berusaha.

"Apa yang saya nampak, golongan keyboard warrior itulah sebenarnya tidak ada kehidupan sendiri sehingga sibuk mencari salah orang lain di laman sosial," ujarnya seperti dipetik daripada laporan mStar.

Namun dia bersyukur apabila ada peminat yang memberi komen positif dan turut menerima tempahan berulang.

Aktres berusia 28 tahun ini menjelaskan, dia mula berfikir untuk menceburi bidang perniagaan kecantikan rambut selepas dilanda pelbagai kontroversi berkaitan kisah cintanya.

Malah dia sudah berniat untuk menghasilkan produk sendiri selepas bergelar duta kecantikan Aurawhite sebelum ini.

"Apa yang dah berlaku sebelum ini membuatkan saya lebih kuat untuk teruskan hidup. Diakui memang isu yang timbul telah menggelapkan karier saya tetapi tidak semudah itu untuk saya perlu diam. Jangan biarkan orang tengok kita jatuh.

"Tuhan sentiasa ada di sisi kita. Biarlah apa orang nak cakap, satu hari nanti orang akan tahu cerita sebenarnya. Lambat atau cepat sahaja," tambahnya lagi.

Syampu VLasy adalah produk keluaran syarikat Hanez iaitu H Estrella Beuate yang mempunyai campuran pati buah-buahan dan tumbuhan bagi mengurangkan rambut gugur serta melebatkan rambut. Ia boleh didapati menerusi dalam talian buat masa ini.

Sebelum ini, nama Hanez telah dilanda kontroversi selepas dia menjalinkan hubungan cinta dengan seorang jejaka berstatus suami orang, Romie Razin Adilha.