Hanis Zalikha rancang rai tetamu Aidilfitri nanti

Hanis Zalikha rancang rai tetamu Aidilfitri nanti

10 Jul – Pengacara jelita yang juga penulis blog popular, Hanis Zalikha merancang ingin meraikan sanak saudara dan rakan taulan yang datang berkunjung ke kediamannya pada Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Hanis yang ditemui dalam Majlis Pelancaran Program Raya Astro di Hotel Royale Chulan semalam berkata aktiviti sedemikian bukanlah merupakan perkara baru ketika menyambut lebaran, malah telah diadakan saban tahun setiap kali menjelangnya hari raya.

"Kebiasaanya pada hari raya pertama Aidilfitri, memang selalu diadakan aktiviti berkumpul ramai-ramai dengan saudara mara dan sahabat handai yang berdekatan di samping menjamu selera dan berbual mesra bersama.

"Mana-mana ahli keluarga dan kenalan rapat memang tahu, rumah Hanis sentiasa terbuka untuk mereka datang dan mak akan masak bermacam-macam jenis juadah untuk menjamu tetamu yang datang ke rumah," ujarnya yang membahasakan diri sebagai 'Kek Nis' di laman blog.

Menyentuh mengenai aktiviti di hari lebaran nanti, Hanis juga bakal pulang ke kampung kedua ibu bapanya yang terletak di Johor dan Kedah bagi menziarahi saudara mara yang menetap di sana.

"Selain beraya di Shah Alam, Selangor, Hanis dan keluarga juga akan beraya di Johor dan Kedah, walaupun nenek dan datuk sudah tiada namun tetap akan melawat sanak saudara di sana," katanya.

Dalam perkembangan mengenai kerjayanya, Hanis bakal muncul dengan sebuah telefilem raya dan filem berjudul "Kriptik" arahan aktor popular Aaron Aziz tidak lama lagi.