Hans Isaac percaya Awie

Hans Isaac percaya Awie

9 Jul – Pengarah dan penerbit filem, Hans Isaac memaklumkan beliau mempercayai Awie berada di pihak yang benar dan tidak bersalah dalam kes yang mendakwa penyanyi rock dan pelakon itu memukul isterinya baru-baru ini.

Awie yang didakwa telah mencederakan isterinya Rozana Misbun mengaku tidak bersalah di mahkamah pada Jumaa t lalu dan sedikit sebanyak hal ini telah memberi kesan pada kerjaya seninya.

Walaupun kes terbabit masih lagi dalam perbicaraan, Hans selaku penerbit teater SuperMokh The Musical tetap menampilkan Awie di dalam pementasan teater tersebut yang bakal berlangsung pada 8 hingga 21 September ini.

"Saya tidak pernah merancang untuk menggantikan Awie. Macam saya kata sebelum ini kesemua pelakon yang terlibat dengan teater ini pada kali pertama ia dipentaskan akan dikekalkan untuk pementasan akan datang. Ia akan kekal.

"Saya percaya Awie tidak bersalah. Malah sebelum didakwa dia sudah menjelaskan semuanya kepada saya. Lambat laun perkara sebenar akan diketahui oleh masyarakat juga," ujarnya seperti yang dipetik dari Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, Hans juga enggan menerangkan segalanya mengenai isu berkenaan dan berharap semuanya akan kembali pulih seperti biasa.

"Maaf saya tidak boleh cerita segalanya. Tetapi saya percaya dengan Awie, apa yang dia cakap. Semua akan baik sahaja," jelasnya.

Sementara itu, Hans juga menerangkan Awie tidak memberi sebarang masalah kepadanya dan latihan teater dijalankan seperti biasa, malah tiket sudah pun terjual hampir 60 peratus.