Kajol teruja pertama kali berkunjung ke Malaysia

Kajol teruja pertama kali berkunjung ke Malaysia

21 Ogos – Aktres terkenal Bollywood Kajol Devgan memberitahu dirinya sangat gembira dan teruja sekali berada di negara ini walaupun baru pertama kali menjejakkan kaki di bumi Malaysia.

Kajol yang ditemui ketika majlis pelancaran saluran Astro Box Office Bolly One HD di Hotel JW Marriot, Kuala Lumpur berkata sambutan peminat di sini terhadap kehadirannya sangat mengkagumkan.

"Apabila saya tiba sahaja di sini, sambutan hangat yang diberikan tidak putus-putus, ada sahaja individu yang senyum dan melambai-lambaikan tangan mereka setiap kali berjumpa saya.

"Masyarakat di sini sangat meraikan kedatangan saya, semua yang berada di sekeliling saya sangat memahami keadaan saya dan mereka tidak memaksa atau pun bersikap agresif terhadap diri saya, semuanya berjalan lancar dan tenang," ujar Kajol ketika ditemuramah oleh aktres jelita Lisa Surihani.

Dalam pada itu, Kajol yang tidak ditemani Ajay Devgan, sempat memberikan ulasan mengenai filem terbaru lakonan suaminya yang berjudul "Singham Returns".

"Saya amat gembira dengan lakonan beliau sebagai DCP Bajirao Singham di dalam filem arahan Rohit Shetty ini.

"Ternyata jalan cerita dan lakonan yang diberikan oleh Ajay serta pelakon lain amat hebat sekali dan saya sukakan filem tersebut," jelas pemegang watak Anjali dalam filem hits "Kuch Kuch Hota Hai" ini.

Dalam perkembangan lain, Kajol bakal membuat kemunculan kembali dalam filem terbaru yang bakal ditayangkan sekitar pertengahan tahun hadapan.