Keith Foo nafi minta bayaran RM20,000

Keith Foo nafi minta bayaran RM20,000

15 Apr – Pelakon popular, Keith Foo menyangkal dakwaan kononnya dia meminta bayaran sebanyak RM20,000 untuk berlakon dalam sebuah telefilem terbitan dan arahan Shahrul Ezad.

"Perkara itu tidak benar. Saya tidak pernah 'demand' harga seperti itu. Siapa yang pernah bekerjasama dengan saya tahu sama ada saya jenis yang demand atau tidak," ujarnya kepada sebuah akhbar tempatan.

Menurut Keith yang popular menerusi drama "Ariana Rose", dia tidak terkejut apabila kenyataan itu disiarkan kerana baginya benda seperti itu akan terjadi kepada semua artis.

Tambah Keith lagi, dia tidak mengenali penerbit telefilem tersebut iaitu Shahrul, malah juga tidak pernah berjumpa.

"Kalau boleh saya tidak mahu perkara ini diperbesar-besarkan. Saya bukan jenis orang yang suka cari kontroversi. Banyak penerbit yang ingin bekerjasama dengan saya. Mereka tahu siapa saya sebenarnya.

"Saya juga tidak akan mengambil apa-apa tindakan berhubung perkara ini, dan Shahrul sendiri tahu perkara itu betul atau tidak."

Dalam perkembangan lain, Keith bakal menjalani penggambaran filem terbarunya "Puteri Kelip-Kelip" terbitan Grand Brilliance dan juga drama "Kasih Berbisik" gabungan tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura.