Kekasih Hanez Suraya mahu selesai kes cerai cara baik

Kekasih Hanez Suraya mahu selesai kes cerai cara baik

15 Apr – Kes tuntutan cerai fasakh oleh isteri kepada teman lelaki Hanez Suraya bakal menjumpai jalan penyelesaian sekiranya kedua-dua pihak bersetuju untuk bersepakat menyelesaikannya secara baik.

Nurliyana Manan, isteri kepada Romie Razin Adilha Abd. Jais itu telah memfailkan permohonan cerai secara fasakh pada 1 Oktober lalu mengikut Seksyen 53 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Romie melalui peguam syarienya, Rubiah Jaafar memaklumkan kepada mahkamah untuk menyelesaikan kes tersebut secara baik dan disambut baik oleh peguam yang mewakili isterinya, Kamar Ainiah.

Hakim Syarie, Zainal Abidin Kusmin telah membenarkan kedua belah pihak mengadakan rundingan bagi mencapai kata sepakat secara baik agar isu perihal hak masing-masing diselesaikan secara harmoni walaupun sebelum ini gagal kerana terdapat isu berbangkit.

Beliau memberi tempoh sehingga 16 Jun untuk kedua belah pihak memberi kata sepakat dan jika gagal berbuat demikian, proses perbicaraan akan diteruskan.

Jika persetujuan berjaya dicapai, pihak Liyana akan mengemukakan permohonan baru iaitu penceraian secara talak mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Negeri Selangor 2003.