Kelly Osbourne hentam Paris Hilton

Kelly Osbourne hentam Paris Hilton

15 Apr – Pengacara "Fashion Police", Kelly Osbourne menghentam sosialit popular Paris Hilton menerusi Twitter selepas mereka terserempak tanpa bertegur sapa di festival muzik Coachella yang berlangsung pada hari minggu lalu.

"Sila bersikap matang, tidak perlu berkelakuan seperti kanak-kanak. Anda boleh duduk bersama dan menyertai kami. Kini bukan tahun 2005, tiada siapa peduli," ujarnya.

Menurut laporan Us Weekly, satu sumber mengatakan, lima minit selepas salah seorang penganjur menjemput Osbourne menyertai meja mereka di Neon Carnival, adik-beradik Hilton, Nicky dan Paris tiba bersama Brandon Davis.

"Mereka terus meminta kepada pihak penganjur untuk duduk di meja tersebut. Selepas itu Kelly diminta untuk ubah tempat ke bahagian atas dan dia bersetuju Namun mereka tidak memberitahu sebab mengapa dia perlu mengubah tempat."

Walaubagaimanapun sosialit berusia 33 tahun menafikan perkara tersebut dan menjelaskan dia tidak terserempak dengan Osbourne.

"Menerima tweet mengenai kami. Saya keliru kerana saya tidak ternampak awak langsung sepanjang hari minggu ini. Tidak tahu bagaimana cerita ini boleh timbul," balas Hilton.

Namun sumber tersebut menambah, "Mereka ternampak antara satu sama lain. Jarak antara mereka lebih kurang 10 kaki sahaja. Kelly mempunyai rambut berwarna ungu terang, mustahil Paris tidak perasan."

Osbourne dan Hilton sudah lama berkawan tetapi mereka pernah bertelingkah pada tahun 2005 selepas teman lelaki Hilton ketika itu, Stavros Niarchos merosakkan parti hari jadi yang ke-21 bintang E! itu di Las Vegas.

Walaubagaimanapun kedua-dua rakan ini dilaporkan telah berbaik selepas itu.