Advertisement

Kes saman Hanez Suraya - bekas PA selesai

Kes saman Hanez Suraya - bekas PA selesai

18 Apr – Kes saman aktres "Autumn Di Hatiku", Hanez Suraya terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd Fairus Mohd Lazim berhubung kenyataan memfitnah menerusi laman sosial telah diselesaikan secara baik.

Menurut laporan Bernama, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng merekodkan persetujuan itu dengan dihadiri oleh peguam Harjit Singh yang mewakili Hanez Suraya, dan peguam K Rajasegaran mewakili Mohd Fairus selaku defendan.

Walaubagaimanapun Hanez dan Mohd Fairus tidak hadir pada prosiding yang berlangsung semalam.

Menurut Harjit, bekas duta produk kecantikan Aura White itu gembira kerana kes tersebut telah diselesaikan tetapi enggan mendedahkan terma-terma penyelesaian yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

Pada November tahun lalu, aktres berusia 29 tahun itu memfailkan saman terhadap Mohd Fairus dengan mendakwa bekas pembantu peribadinya itu telah memfitnah serta mengaibkannya pada 30 September hingga 15 Oktober 2013 di laman sosial Instagram menerusi akaun DashaSultan dan Twitter menerusi akaun Dasha_Sultan.

Dalam kenyataan tuntutannya, Hanez Suraya mendakwa antara perkataan-perkataan fitnah itu mengatakan dia merupakan seorang pelakon yang kedekut, tidak menghormati orang lain, mata duitan, lupa diri, tidak matang, bermuka-muka dan kedekut.

Hanez Suraya turut membuat tuntutan ganti rugi khas, ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan, kos, faedah dan injuksi bagi menghalang defendan terus menyebarkan fitnah terhadapnya.

Prosiding semalam sepatutnya ditetapkan untuk mendengar permohonan Mohd Fairus bagi mengetepikan permohonan penghakiman ingkar yang telah diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi pada 27 Disember tahun lepas terhadapnya selepas gagal memasukkan kehadirannya pada prosiding sebelum ini.