Kisah Belakang Tabir Ratu Cantik Di Pentas “Malaysian Girls”

Apakah ciri-ciri seorang gadis itu untuk melayakkan diri mereka terpilih ke pertandingan ratu cantik di Malaysia? Pernah suatu ketika dahulu apabila kita melarang anak kacukan mewakili negara kerana wajah mereka tidak melambangkan Malaysia. Kita juga melarang gadis beragama Islam menyertainya juga.

 

Walaubagaimanapun, kita tetap menghantar wakil ke pertandingan ratu cantik. Kimberley Ann Estrop-Legget telah berjaya memenangi peringkat Malaysia dan bertanding ke peringkat Miss Universe 2012 nanti. Tahun lalu, kita cukup berbangga dengan Deborah Henry yang mewakili kita di Miss Universe 2011. Walaupun tewas, nama Deborah telah diramal oleh portal Global Beauties untuk memenangi gelaran tersebut.

 

Pertandingan sedemikian mendapat sambutan di seluruh dunia. Miss Universe ditonton oleh 600 juta orang di seluruh dunia. Filem komedi Miss Congeiality yang dibintangi pelakon Sandra Bullock berjaya mengumpul hasil jualan tiket $700 juta.


Sungguhpun Malaysian Girls ini sebuah pementasan berbentuk muzikal, ia mengandungi dramanya tersendiri yang merungkai kisah di sebalik tabir pertandingan dalam merebut mahkota yang menjadi idaman semua wanita.

Pementasan berbahasa Inggeris ini mengisahkan Samsara Jaya dan Serenity Billion mempunyai cita-cita yang sama bagi mengadakan satu pertandingan ratu cantik. Mereka menubuhkan Pertandingan Ratu Cantik Malaysian Girls yang memaparkan ciri-ciri unik kecantikan sebenar gadis Malaysia. Malangnya, beberapa minggu sebelum pertandingan bermula, Samsara meninggal dunia. Abang kepada Samsara, Dato Ray Sanjay bersama rakan kongsinya Jasmine Hibiscus ingin mengambilalih penganjuran pertandingan tersebut dengan skala yang lebih besar. Strategi mereka bermula dengan membawa masuk bekas Ratu Australia 1999, Sydney Belle.

 

“Ia menyelami isu-isu penting yang amat relevan kepada masyarakat kita seperti kecantikan paras rupa dan juga identiti rakyat Malaysia”, jelas Joe Hasham OAM selaku pengarah.


Malaysian Girls mungkin berjaya membongkar kisah di belakang tabir penganjuran sesebuah pertandingan ratu cantik. Setiap konflik dirungkai bagi mencari jalan penyelesaian. Apakah yang dicari dalam sesebuah pertandingan ratu cantik di Malaysia? Wajah yang cantik? Budaya yang dibawa? Jatidiri yang diangkat? Atau kecerdikan mereka untuk menjawab setiap soalan mudah bersandarkan tahap IQ yang mereka ada?


Semuanya akan terjawab dalam pementasan yang kini sedang rancak berlangsung di Pentas 1, Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC).


Pementasan ini dijayakan seramai 11 ensemble dan diterajui oleh Tabitha Kong dan Siti Farrah Abdullah bersama Zoe Taylor.


Sebanyak 14 buah lagu dicipta khas untuk pementasan ini yang ditulis oleh Khairil M. Bahar (yang juga bertanggungjawab untuk filem Ciplak, Relationship Status), Ariff Akhir, Ian Chow, Wani Ardy dan Min’z. Pementasan ini akan diiringi oleh enam pemuzik secara langsung.


Malaysia Girls dipentaskan bermula 10 sehingga 30 Disember 2011 di The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (klpac) dan kemudiannya akan dipentaskan di Penang Performing Arts Centre (penangpac) 11-15 Januari 2012.