Advertisement

Kris Dayanti bicara tentang keluarga



Berbicara tentang diva Indonesia yang seorang ini, Krisdayanti, memang tidak pernah ada penghujungnya. Populariti telah meletakkan wanita berusia 37 tahun ini dalam situasi yang memerlukan dia sering menjadi buruan media.

Terkini, Kris atau juga dipanggil KD, buat pertama kali hadir ke Malaysia selepas berkahwin dengan usahawan Timor Leste, Raul Lemos dan selepas menimang cahaya mata pertama mereka, Ariannha Amora Lemos.

Menariknya, kedatangan KD atas beberapa undangan persembahan itu juga tidak bersendirian. Selain ditemani Raul, KD turut ditemani cahaya mata keduanya yang kini sedang menanti waktu untuk dilahirkan ke dunia.

“Usia kehamilan saya kini sudah mencecah tujuh bulan. Insya Allah, ini bayi lelaki dan saya akan melahirkannya sekitar pertengahan Disember ini,” ujarnya penuh gembira.

Jujurnya kata KD berita kehamilan keduanya ini telah mengejutkan suaminya, Raul. "Ini kerana tempoh hamil kedua ini dengan yang pertama tidak jauh. Bukan sahaja Raul yang terkejut, malah saya sendiri tidak menyangka kegilaan saya memakan mangga bersama kicap pada waktu saya sedang menjalani tempoh diet, rupanya petanda saya hamil. Tapi kami teruja untuk menimang cahaya mata lagi," tambah KD bercerita tentang kehamilan keduanya  ini.

Baca di sini: Adakah Neelofa dan Hans Isaac benar-benar bercinta?
Baca di sini: Rumah tangga Chef Riz bergelora

Bagaimanapun penyanyi tersebut memberitahu, dia kini cepat berasa letih saat hamil, berbeza dengan pengalaman pertamanya sewaktu mengandung anak sulung hasil perkongsian hidup bersama mantan suaminya, Anang Hermansyah, lebih 10 tahun lalu. Ujarnya, jika dahulu pada usia 9 bulan hamil, dia masih ligat menyanyi, tetapi tidak kini.

Katanya: “Saya kini cepat letih. Jadi saya jarang mengambil pekerjaan kerana perlu lebih banyak berehat,”
KD yang baru selesai membuat persembahan di konsert Diraja di Pekan, Kuantan mingglu lalu didepani masalah sehari sebelum berlepas dari Jakarta. Pengurusnya,  Selby menjadi mangsa rompakan di Jakarta beberapa hari sebelum itu. Tas tangannya hilang beserta pasport KD dan anak-anaknya.

Biarpun begitu, KD tetap muncul memberi persembahan hebat di Pekan dengan vokal mantap beliau ketika mendendangkan beberapa buah lagu termasuk lagu hitnya, “Menghitung Hari” dan “Hati Ini Telah Dilukai” dalam bentuk duet bersama komposer Ajai.

Sementara itu bercakap tentang kehidupannya bersama keluarga baru, KD memanjat kesyukuran kerana dia dikurniakan seorang suami yang begitu teguh menyokong setiap hal yang terjadi dalam kehidupannya.
Mengaku Raul masih perlu beradaptasi dengan kehidupan glamornya yang selalu diterjah hal-hal kurang enak, KD menyimpulkan kehidupannya sebagai sesuatu derita itu tidak berpanjangan. “Dan manis akan tiba dengan izinNya,” ujar penyanyi tersebut berfalsafah.

Ditanya pula tentang progres seninya, KD memberitahu dia akan lebih memberi fokus terhadap bidang nyanyian berbanding dunia lakonan kerana mahu memberi lebih banyak fokus terhadap keluarganya. Walaupun banyak orang beranggapan dia kini seperti menyepi tanpa sebarang material baru, realitinya, kD sudah kembali mahu bertempur.

“Usai bersalin, barangkali tahun hadapan secepat mungkin saya akan masuk studio semula untuk merakamkan album terbaru saya,” katanya berkobar-kobar.