Kris Dayanti pilih Malaysia

Kris Dayanti pilih Malaysia

17 Apr – Penyanyi Indonesia bersuara gemersik ini mula mendapat tempat di industri seni negara kelahirannya setelah berjaya muncul juara di pertandingan "Asia Bagus" pada tahun 1992.

Setelah berjaya mengungguli kejayaan demi kejayaan, akhirnya lewat beberapa tahun yang lalu Kris Dayanti (KD) merehatkan dirinya untuk meluangkan masa bersama keluarga.

Kini, diva ternama yang sangat rendah diri ini pulang semula ke rumah keduanya, Malaysia untuk berkongsi buah tangan terbarunya iaitu album terbaru berjudul "Persembahan Ratu Cinta" serta lagu single "Bertubi-tubi" khas buat tatapan peminatnya di sini.

Ikuti temubual bersama diva terulung ini ketika majlis pelancaran album terbarunya di Menara TSR, Mutiara Damansara.

Selamat kembali ke Malaysia, KD! Apakah perasaan anda dapat kembali ke sini untuk pelancaran album terbaru dan mengapa memilih Malaysia?
Ya, terima kasih buat semuanya. Pertama sekali, perasaan saya dapat kembali semula ke Malaysia adalah rasanya sangat membahagiakan buat diri saya. Rasanya sama seperti 15 tahun yang lalu dimana pertama kalinya saya menjejakkan kaki di negara ini untuk memperkenalkan diri saya pada peminat muzik di Malaysia.

Saya juga sangat senang sekali memilih Malaysia kerana industri muziknya yang terus berwarna-warni. Pada waktu dulu saya datang ke sini pada tahun 1998, lagu saya seperti "Menghitung Hari" terus menjadi terkenal dan siulan anak muda di sini serta top di carta-carta lagu radio mahupun televisyen.

Kini, walaupun banyak lagu-lagu baru mula menerjah ke industri, masih ada juga sebahagian peminat yang mempunyai selera yang sama mahu mendengar lagu-lagu saya dan saya masih boleh berdiri lagi di pentas negara ini sudah cukup luar biasa bagi saya untuk datang ke mari bagi mempromosikan buah tangan baru saya.

Seperti yang dimaklumkan, lagu "Bertubi-tubi" ini diciptakan khas buat KD oleh Melly Goeslaw, bagaimana kerjasama KD dengan Melly untuk lagu ini? Adakah proses penghasilan lagu ini senang atau bagaimana?
Sebenarnya diikutkan saya yang memujuk Melly untuk menghasilkan karya baru untuk saya. Melly sebenarnya seorang yang tidak menghebohkan karyanya kepada sesiapa kerana harus dipujuk dan meminta, baru Melly akan hasilkan lagunya.

Selalunya dia bertapa atau bermeditasi dahulu untuk muncul dan hasilkan lirik lagu yang luar biasa seperti lagu terbaru ini dimana dijuruskan kepada tema untuk orang yang harus tetap bersemangat walaupun menghadapi pelbagai cabaran.

Melly orangnya sangat berhati-hati untuk mencipta dan memberikan lagunya kepada saya kerana beliau cukup bimbang dan gusar kerana takut-takut lagunya yang diberikan pada saya dekat dengan kisah peribadi dan akan mendatangkan tanggapan negatif media mahupun peminat.

Boleh KD cerita serba sedikit penceritaan disebalik lagu ini dan apa mesej yang ingin disampaikan melalui karya ini berserta video muziknya?
Lagu "Bertubi-tubi" ini sebenarnya menceritakan tentang kehidupan seorang wanita yang menerima penderaan emosinya secara bertubi-tubi dan terpaksa berhadapan dengan kesedihan yang bertimpa-timpa dalam kehidupannya.

Namun akhirnya diri wanita itu boleh bangkit semula kerana masalah yang dihadapinya itu tidak pernah selesai dan tetap ada sesuatu yang boleh membahagiakan diri kita iaitu berada di samping suami dan anak-anaknya. Lagu ini juga dekat dengan diri saya kerana saya juga seorang wanita, ibu dan isteri kepada anak-anak dan suami.

Video muzik yang dihasilkan oleh adik saya ini sangat dekat dengan jiwa saya kerana dirakamkan ketika kami sekeluarga bercuti di kota Paris dan sebahagiannya hanya diambil ketika menghabiskan masa di rumah sahaja. Konsepnya sangat sederhana dan bakal dilancarkan di lama YouTube untuk tatapan semua.

Bagaimana kehidupan KD sekarang bersama anak-anak dan suami, Raul Lemos? Adakah mereka faham dengan kerjaya KD sebagai seorang penyanyi?
Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana memberikan saya keluarga yang bahagia. Kini, saya mempunyai dua orang cahaya mata bersama Raul iaitu Ariannha Amora Lemos yang berusia dua tahun dan Kellen Alexander Lemos, satu tahun.

Keluarga terutamanya suami saya amat memahami kerjaya saya tetapi meletakkan syarat supaya saya tetap mempunyai masa untuk keluarga. Kadang-kala Raul ada bertanya mengapa perlu diadakan itu dan ini dan ternyata ada saat dia cemburu kerana waktu untuk dirinya bersama isteri sudah diambil oleh peminat-peminat saya.

Saya tidak menyalahkan dirinya dan menjelaskan kepadanya kerana apa yang dilakukan oleh saya dan syarikat rakaman ini adalah proses yang penting untuk kekal sukses dan buat orang sedar akan kewujudan saya sebagai penyanyi.

Raul turut menjadi pengkritik tegar dimana sering memberi pendapat mengenai gaya dan penampilan saya di pentas. Dia suka saya berpakaian lebih ringkas seperti bercelana dan memakai skirt mahupun blaus berbanding mengenakan dres supaya kelihatan lebih ceria dan segar.

Apa pendapat KD mengenai bakat-bakat baru yang muncul dan adakah KD bimbang zaman populariti sudah semakin suram?
Zaman populariti ada turun naiknya dan itu hakikat, lumrah alam dalam bidang seni dan sebagai manusia harus terima dengan hati yang terbuka. Seperti di Malaysia ada juga bintang baru yang menyinar seperti Yuna yang berjaya di pentas antarabangsa.

Begitu juga di Indonesia, banyak generasi muda dan baru muncul seiring dengan industri muzik yang bertambah kreatif. Antara bakat muda yang sering mendapatkan petunjuk dan nasihat saya adalah Syahrini dan Bunga Cinta Lestari.

Saya juga masih boleh menjadi di antara orang yang ditunggu-tunggu karyanya dan turut menjadi penasihat buat mereka walaupun zaman diva itu sudah hilang.

Akhir sekali, apa harapan KD terhadap penerimaan peminat mengenai album terbaru ini dan apa yang KD paling inginkan dalam kehidupan selepas ini?
Walaupun sudah lama saya tidak muncul dengan album baru, saya amat berterima kasih sekali kepada kelompok besar yang masih menghargai karya saya terutama sekali peminat di Malaysia. Buah tangan terbaru ini khas buat kalian semua dan ini adalah hasil kesungguhan dalam memberikan yang terbaik.

Kini usia saya sudah 39 tahun dan apa yang terpenting dalam kehidupan adalah keluarga saya yang sentiasa menjadi sandaran hidup dan tidak pernah membuat diri ini rasa kesunyian. Tuhan ini Maha Pengasih lagi Penyayang kerana tidak marah dan tidak pernah meninggalkan saya.

Saya tidak pernah mengejar kebahagian kerana bahagia itu akan hadir sendiri dan tidak pernah berasa menyesal dengan segala apa yang pernah saya lakukan. Sebagai ibu saya ingin memberikan komitmen yang terbaik buat anak-anak dan bersyukur kerana keluarga menjadi pendokong kuat untuk hadapi hidup ini.

Terima kasih kerana sudi meluangkan masa.
Sama-sama!