Advertisement

Kumpulan pop 1990-an popular

Kumpulan pop 1990-an popular

Setiap bidang pasti akan melalui peredaran masa. Begitu juga dengan dunia muzik. Kehadiran pelbagai kumpulan pada masa kini terlalu banyak. Ada yang mampu kekal lama, ada juga yang kecundang.

Namun tiada siapa dapat nafikan, tahun 1990-an dalam industri muzik mungkin adalah tempoh yang terbaik kerana ia 'meriah' dengan kemunculan kumpulan pop lelaki dan juga wanita.

Mari kita saksikan antara kumpulan yang berjaya menempa populariti dalam dunia muzik sekitar tahun 1990-an.

SPICE GIRLS

Siapa yang tidak kenal dengan Spice Girls? Dianggotai oleh Mel B (Scary Spice), Emma Bunton (Baby Spice), Mel C (Sporty Spice), Geri Halliwell (Ginger Spice) dan Victoria Beckhams (Posh Spice), Spice Girls yang berasal dari England ini telah ditubuhkan pada 1994 dan mereka memperjuangkan girl power (kuasa wanita). Muncul dengan single pertama, "Wannabe", yang berjaya mencipta fenomena global, Spice Girls telah berjaya menjual 80 juta rekod secara keseluruhan di seluruh dunia. Ini sekaligus menjadikan mereka sebagai kumpulan wanita terlaris sepanjang zaman, kumpulan pop terlaris sepanjang zaman dan juga fenomena pop Britain terbesar sepanjang zaman semenjak kumpulan The Beatles. Kali terakhir Spice Girls bersama adalah ketika promosi pelancaran "Viva Forever: The Musical" pada tahun 2012.

ANTARA LAGU HITS: "Wannabe", "Say You'll Be There", "2 Become 1", "Mama", "Spice Up Your Life", "Too Much", "Stop", "Goodbye"

BACKSTREET BOYS

Kumpulan yang berasal dari Orlando, Florida ini telah ditubuhkan pada tahun 1993. Dianggotai oleh A.J McLean, Howie D, Nick Carter, Kevin Richardson dan Brian Littrell, Backstreet Boys (BSB) dikenali selepas melancarkan album pertama mereka pada tahun 1996. Pada tahun 2006, Richardson membuat keputusan untuk meninggalkan BSB, tetapi menyertai semula empat tahun kemudian. BSB masih lagi mengadakan persembahan walaupun tidak seaktif dulu. Kumpulan ini baru sahaja memenangi kategori Best Musical Moment di MTV Movie Awards 2014 untuk persembahan mereka dalam filem "This Is The End".

ANTARA LAGU HITS: "I'll Never Break Your Heart", "Quit Playing Games (With My Heart)", "As Long As You Love Me", "I Want It That Way", "Larger Than Life"

'N SYNC

Sebuah lagi kumpulan pop lelaki yang berasal dari Orlando, Florida. 'N Sync yang ditubuhkan pada tahun 1995 telah dianggotai oleh lima jejaka iaitu JC Chasez, Joey Fatone, Justin Timberlake, Chris Kirkpatrick dan Lance Bass. Pada yang tidak tahu, Kirkpatrick sebenarnya gagal menyertai Backstreet Boys sebelum 'N Sync ditubuhkan. Single pertama mereka, "I Want You Back" telah dilancarkan pada tahun 1996 dan semenjak itu, kumpulan ini mendapat perhatian ramai dan berjaya menduduki tempat teratas dalam carta muzik. 'N Sync mula tidak aktif selepas April 2002 dan hasrat untuk menghasilkan album baru pada 2003 juga tidak kesampaian. Kali terakhir mereka membuat persembahan bersama adalah ketika MTV Video Music Awards 2013 apabila Timberlake menerima anugerah khas. Sehingga kini tiada perancangan untuk kumpulan ini kembali bergabung.

ANTARA LAGU HITS: "Tearin' Up My Heart", "Crazy For You", "I Want You Back", "Bye Bye Bye", "It's Gonna Be Me", "This I Promise You", "Pop", "Girlfriend", "Gone"

HANSON

Kumpulan yang dianggotai oleh tiga beradik – Isaac, Taylor dan Zac, mula dikenali menerusi lagu hit "MMMBop" pada tahun 1997. Bezanya Hanson dengan kumpulan pop yang lain adalah mereka bermain alat muzik sendiri. Hanson telah berjaya menjual 16 juta rekod secara keseluruhan di seluruh dunia. Mereka masih lagi aktif membuat persembahan walaupun populariti yang dikecapi agak berbeza ketika awal permulaan karier mereka. Album terakhir Hanson berjudul "Anthem" telah dilancarkan pada 18 Jun 2013 dan mendapat penerimaan positif daripada peminat mereka. Selain aktif dalam dunia muzik, Hanson turut melancarkan bir mereka sendiri yang diberi nama Mmmhops.

ANTARA LAGU HITS: "MMMBop", "Thinking Of You", "Weird", "Where's The Love", "I Will Come To You"

ALL SAINTS

Sebuah lagi kumpulan pop wanita yang ditubuhkan pada tahun 1993 sebagai All Saints 1.9.7.5., tetapi ia ditubuhkan semula pada tahun 1995 dengan hanya menggunakan nama All Saints. Dianggotai oleh Melanie Blatt, Shaznay Lewis, Natalie Appleton dan Nicole Appleton, All Saints mula dikenali selepas meriliskan album pertama mereka pada tahun 1997 dengan lagu hit seperti "I Know Where It's At" dan "Never Ever". Kumpulan ini mengumumkan perpecahan mereka buat kali pertama pada Februari 2001, tetapi kembali bersama pada tahun 2006. Namun mereka gagal mengulangi kejayaan ketika menghasilkan album pertama dan All Saints sekali lagi berpecah. Pada November 2013, All Saints mengumumkan mereka akan kembali ke dunia muzik dan baru sahaja melancarkan lagu remix "Pure Shores" pada April 2014.

ANTARA LAGU HITS: "I Know Where It's At", "Never Ever", "Bootie Call", "Under The Bridge", "Lady Marmalade", "War Of Nerves", "Pure Of Shores", "All Hooked Up"

BOYZONE

Kumpulan berasal dari Dublin, Ireland ini dianggotai oleh Keith Duffy, Stephen Gately, Mikey Graham, Ronan Keating dan Shane Lynch. Ditubuhkan pada tahun 1993, Boyzone meriliskan album pertama mereka, "Said And Done" pada 1995 dan berjaya menduduki tempat teratas dalam carta muzik. Pada November 1999, mereka mengumumkan akan berehat buat seketika bagi mencuba karier solo. Berita mengejutkan buat Boyzone dan peminat apabila Gately meninggal dunia secara mengejut pada 10 Oktober 2009 di kediamannya di Majorca. Selepas kematian Gately, keempat ahli Boyzone bergabung semula dan menghasilkan album terbaru mereka demi memberi penghormatan buat bekas ahli kumpulan mereka itu. Mereka baru sahaja meriliskan album terbaru, "BZ20" pada November 2013 dan album kompilasi, "Love Me For A Reason: The Collection" pada awal 2014. Boyzone akan mengadakan siri jelajah pada tahun ini.

ANTARA LAGU HITS: "Key To My Life", "Love Me For A Reason", "Isn't It A Wonder", "A Different Beat", "All That I Need", "Picture Of You"

WESTLIFE

Westlife telah ditubuhkan pada Julai 1998 selepas penerbit terkenal Simon Cowell menandatangani mereka. Westlife yang dianggotai oleh Nicky Byrne, Kian Egan, Mark Feehily, Shane Filan dan Brian McFadden ini mula dikenali selepas mereka menjadi artis pembuka persembahan untuk konsert Backstreet Boys dan Boyzone di Dublin. McFadden meninggalkan Westlife pada tahun 2004 untuk menghabiskan masa bersama keluarga dan juga meneruskan projek solo. Sepanjang 14 tahun karier mereka, Westlife berjaya mempunyai 26 lagu single yang menduduki carta muzik United Kingdom. Walaupun berjaya menempa kejayaan di seluruh dunia, Westlife gagal memecah pasaran di Amerika Syarikat kecuali dengan single pertama mereka, "Swear It Again". Pada 19 Oktober 2011, Westlife mengumumkan perpecahan mereka.

ANTARA LAGU HITS: "Swear It Again", "If I Let You Go", "Flying Without Wings", "Fool Again", "My Love", "Unbreakable"