Lisa dan Yusry sambut Raya di rumah baru


Pertama kali bakal meraikan Aidilfitri bersama, pasangan pengantin selebriti Lisa Surihani dan Yusry berkongsi kegembiraan yang sama rata. Lisa gembira kerana kehadiran Yusry telah mengubah mood rayanya pada tahun ini selepas pemergiaan arwah bapanya, Mohamed, beberapa tahun lalu.

“Saya sudah lama tidak merasa teruja apabila tiba hari raya kerana ketiadaan bapa. Berbeza pada tahun ini, mood raya saya berubah kerana saya akan menyambutnya dengan suami dan keluarga mertua saya,” ujarnya penuh gembira.

Sementara bagi Yusry pula, dia gembira kerana tahun ini, segala persiapan raya telah dilengkapkan oleh Lisa. Berbanding pada zaman bujangnya, dia tidak begitu menitik beratkan soal pakaian, tetapi berbeza pada tahun ini, ujar Yusry, Lisa telah menempah baju raya mereka sejak awal Ramadan lagi. Mereka juga telah menempah dua pasang baju raya dari warna yang sama iaitu biru dan kuning keemasan.

“Raya saya tahun ini lebih meriah kerana segala persiapan raya telah disusun dan dibuat Lisa. Dia yang tempah baju raya, dia yang lakukan itu dan aturkan ini. Saya rasa lengkap sebab ada isteri juga,” katanya sambil ketawa.

Bercakap tentang sambutan raya, pasangan ini memberitahu akan meraikan hari raya di kediaman baru mereka yang telah siap di Country Heights, Kajang. Ujar Lisa, seluruh keluarga Yusry dan keluarganya akan berkumpul di kediaman mereka pada pagi hari raya.

“Tahun ini, semua orang akan berhari raya di kediaman baru kami. Ini kerana, keluarga Yusry mengamalkan sistem bergilir raya di kediaman adik-beradiknya. Kebetulan, tahun ini, giliran Yusry, jadi semua akan berhari raya di rumah kami. Sebenarnya, masih ada lagi perkara yang tak siap di rumah kami, tapi kalau sekadar untuk ahli keluarga dan teman rapat berkunjung bolehlah,” tambah Lisa lagi.

Lantaran begitu sibuk sebelum raya, pasangan ini dan keluarga mengambil keputusan untuk bercuti bersama pada hari raya ketiga ke Pulau Pinang.

Ditanya tentang menu wajib pagi raya, Yusry memberitahu sebagai seorang yang ketagih kopi, dia akan mencari kopi terlebih dahulu berbanding menu lain.

“Lepas minum kopi, baru saya cari lemang,” katanya.

Lisa pula mengaku kesibukannya membuat dia tidak sempat membuat kuih sendiri.
“Jadi saya hanya beli kuih kegemaran iaitu kuih confleks,” katanya pula.