Lisa Surihani nafi semakin lantang

Lisa Surihani nafi semakin lantang

14 Jul – Aktres jelita Lisa Surihani menafikan dakwaan yang mengatakan dia semakin lantang memberi respon di laman sosial Instagram.

"Saya tidak pernah berniat dan tidak terfikir untuk mendapatkan pengikut yang ramai malah saya buka akaun Instagram pun kerana ikut 'trend' sahaja.

"Siapa suka boleh 'follow' dan kalau tidak, saya tidak paksa. Dari dulu hingga sekarang saya memang seorang yang 'transparent'. Apa yang saya muat naik dalam akaun itu adalah sifat saya dan ia tidak berubah mengikut jumlah 'follower' seperti yang dikatakan," katanya yang dipetik dari Sinar Harian.

Tambah isteri kepada pengarah filem terkenal Yusry Abdul Halim, dia juga berfikir dahulu sebelum memuat naik sebarang foto atau video kerana tidak mahu menimbulkan sebarang kontroversi.

"Saya perlu menjaga nama baik keluarga dan suami. Kalau boleh memang saya mahu elakkan berlakunya perkara seperti ini.

"Tapi itu bukan bermakna saya menilai pengguna media sosial yang lain. Itu semua terpulang pada cara masing-masing."

Dalam perkembangan lain, pada bulan Ramadan ini Lisa banyak meluangkan masa bersama suami, keluarga dan rakan-rakan.

"Tahun ini saya menjalani bulan puasa tanpa sebarang penggambaran filem mahupun drama. Banyak masa saya habiskan bersama suami, keluarga dan rakan-rakan."

Tambah Lisa lagi, dia turut gembira apabila tahun ini dia berpeluang melakukan amal ibadah bersama orang yang tersayang.