Marsha nafi kekasih suami orang

Marsha nafi kekasih suami orang

10 Apr – Penyanyi dan pelakon jelita Marsha Milan Londoh yang mula menjalin hubungan cinta dengan seorang ahli perniagaan yang dikenali dengan Mr. S sejak tahun lalu menafikan kekasih yang dikenali sejak enam tahun lalu adalah suami orang.

"Dia (Mr. S) bukan duda atau suami orang. Dia solo, memang saya takut. Apa yang Hanez Suraya sedang lalui sekarang membuatkan saya agak takut sehingga saya membuat kaji selidik mengenai latar belakang kekasih.

"Memang sah dia bukan suami orang. Kalau boleh, saya tidak mahu terlibat dengan suami orang. Sebab kalau saya dalam situasi wanita itu, saya juga tidak suka bermadu. Saya tidak mahu kacau mana-mana pasangan," ujarnya kepada sebuah akhbar tempatan.

Walaupun sebelum ini hubungan yang dijalin tidak kekal dan kerap kecundang, namun penyanyi berusia 28 tahun ini tidak serik untuk terus bercinta.

"Setiap orang memerlukan seseorang untuk menyayangi diri kita. Lebih-lebih lagi, saya ini seorang yang manja. Saya perlukan seorang lelaki yang boleh saya curahkan rasa manja saya. Dia buat kita rasa sentiasa positif dan membuatkan diri kita ada arah tuju serta ingin menjadi lebih bagus."

Dalam perkembangan lain, Marsha memberitahu dia baru sahaja selesai merakamkan lagi barunya dengan Zarul Umbrella berjudul "Rasa" yang akan diriliskan pada Mei ini.

Selain itu, Marsha juga turut berkata, dia juga ada merakam lagu tribute untuk pesawat MAS MH370 berjudul "Langit Biru" bersama Caprice, Atilia dan juga penyanyi rap Cina serta India.

Sementara itu, Marsha bakal muncul dengan tiga buah filem yang akan ditayangkan tidak lama lagi iaitu "Tujuh", "Juanita" dan "Pak Pong".