"Mat Tudung" mencuit hati

"Mat Tudung" mencuit hati

10 Jul – Selepas muncul dengan filem pertama arahannya "Hantu Tok Mudim", Waan Hafiz sekali lagi diberi kepercayaan untuk mengarah filem terbaru terbitan Showbiz Production iaitu "Mat Tudung" yang menggandingkan Fizz Fairuz, Nelydia Senrose dan Izzue Islam sebagai pelakon utama.

"Mat Tudung ialah sebuah filem komedi ringan yang menghiburkan. Gandingan serasi antara Fizz Fairuz, Izzue Islam dan Nelydia Senrose serta artis-artis berpengalaman seperti Harun Salim Bachik, Rosnah Mat Aris dan ramai lagi dapat memantapkan filem ini.

"Saya berharap penonton dapat melihatnya sebagai filem komedi ringan yang juga mempunyai nilai positif yang memberi pengajaran tentang kekeluargaan," katanya yang ditemui selepas majlis pratonton filem "Mat Tudung" di TGV Wangsa Walk, semlam.

Dalam pada itu, Fizz Fairuz yang menggalas sebagai watak utama berkata, dia bersetuju untuk berlakon dalam filem ini adalah kerana mahu mencuba sesuatu yang baru dan memberi kelaianan pada setiap lakonannya.

"Bagi saya, cabaran yang perlu saya hadapi dalam menjayakan watak ini adalah saya sendiri yang berasa rimas. Saya rasa rimas kerana harus bersiap selama dua jam untuk menjadi perempuan. Kena bersolek, memakai tudung dan sebagainya. Saya juga harus menyelami jiwa wanita.

"Ini merupakan watak yang berbeza yang pernah saya bawa. Jika dahulu saya seringkali membawa watak ustaz dalam filem, tapi kali ini watak saya lain pula. Saya mengambil ini sebagai cabaran buat saya dan saya enggan ambil peduli dengan apa yang orang katakan. Watak saya menyamar sebagai perempuan pula bukanlah sengaja diadakan tetapi ada sebab mengapa saya perlu menyamar. Oleh itu penonton harus saksikan filem ini sendiri."

Selain, Fizz, Nelydia dan Izzue, "Mat Tudung" turut dibarisi pelakon hebat lain seperti Harun Salim Bachik, Rosnah Mat Aris, Munir, Ilya, Radhi Khalid dan Jihan Raja Lawak.

Filem yang menelan belanja RM1.5 juta ini bakal menemui penonton di pawagam pada 28 Julai ini iaitu pada Hari Raya Pertama.