Norish Karman buat lagu untuk anak tiri


'Terus Melangkah', begitu tajuk album sulung Norish Karman. Ya, Norish Karman sekarang sudah ada album. Sebenarnya bila Norish buat album, tak ada yang mengejutkan sebab selain berlakon, Norish memang telah pernah mencipta rekod sebagai pemenang pingat emas dalam kategori vokal (R&B) dalam World Championship of Performing Arts di Los Angeles beberapa tahun lalu.

Cuma ramai yang tertanya-tanya sedap atau tidak vokal Norish sebenarnya. Lagi pula jualan album sekarang sangat lembap dan banyak artis muda yang berbakat besar.

Sewaktu persoalan tersebut diajukan kepadanya semasa majlis pelancaran album tersebut baru-baru ini, Norish yang mempertaruhkan lagu Rahsia Hati sebagai single pertamanya menjawab dia tidak gentar bersaing. Persaingan yang sihat bagus untuk dirinya agar sentiasa mahu jadi yang terbaik.

"Tentang kemampuan vokal saya pula, saya rasa adalah lebih baik membeli album saya dan menilainya sendiri," ujar Norish ringkas.

Sebenarnya, ada sebab juga mengapa Norish berkata demikian. Ini kerana dia yang telah mengumpul duit selama empat tahun untuk menghasilkan album yang mengandungi enam buah lagu itu tidak bernaung di bawah mana-mana label. Album tersebut juga tidak dijual di kedai kaset.

"Saya macam seniman jalanan sebab saya menyanyi di mana-mana dan saya akan menjual album di tempat saya membuat persembahan. Dalam masa yang sama sesiapa yang mahu membeli album tersebut boleh membuat pesanan terus melalui facebook saya," katanya tentang album yang dijual pada harga RM24.90 itu.

'Terus Melangkah' kata Norish lagi adalah satu bentuk curahan hati tentang suka dan duka kehidupannya selama ini. Dia sendiri menghasilkan tiga buah lagu untuk album itu termasuk sebuah lagu yang dibikin khas buat bekas anak tirinya, "Kasih Selamanya".

Sementara ditanya tentang perkembangan dirinya, Norish yang merupakan ibu tunggal kepada tiga orang anak iaitu Muhammad Haqiem Armany, Muhammad Hardy Amieran dan Putri Hany Amanda ini memberitahu dia selesa hidup solo buat masa ini.

Katanya yang tidak menafikan lelaki penting di dalam kehidupan seorang wanita dan rugilah dia jika menafikan cinta, bagaimanapun dia kini memilih untuk bercinta dengan kerjayanya sahaja.

"Saya tak pernah serik bercinta atau berkahwin. Cuma kalau ada lelaki yang mahukan saya, mereka kena fikir mampu tak nak bercinta dengan saya yang punya tiga orang anak ini," katanya sambil tersenyum.