Normalkah Sendawa Terlalu Kerap?


Soalan:

Mengapakah saya selalu sangat sendawa? Saya akan sendawa meski pun bukan kerana kenyang atau baru selesai makan. Ketika lapar juga saya sering sendawa. Saya sendawa 4-6 kali dalam tempoh sejam. Apakah itu menunjukkan yang sistem penghadaman saya bermasalah? Apakah normal jika seseorang selalu sangat sendawa? Saya berusia 19 tahun dengan ketinggian 160 cm dan berat badan 60 kg. Mohon penjelasan.

Fira, 19 tahun.

Jawapan:

Hai, Fira,

Sendawa disebabkan oleh adanya gas yang dikeluarkan daripada organ perut. Ia adalah suatu proses semula jadi tubuh untuk mengeluarkan gas dari perut. Gas yang ada di dalam perut boleh berpunca daripada udara yang ditelan  atau yang terhasil daripada pemprosesan dan penghadaman makanan. Jika seseorang terlalu kerap sendawa sehingga lebih 20 kali sehari, hal ini mungkin disebabkan oleh tabiat, pola diet/pemakanan, atau wujudnya keadaan/penyakit tertentu.

Beberapa jenis makanan seperti brokoli, kubis, minuman berkarbonat, bunga kubis, gula-gula getah, epal, pic, pir, dan salad boleh mengakibatkan pengeluaran gas di dalam perut meningkat.  Makanan yang tinggi kandungan lemaknya juga akan membuatkan gas di dalam perut menjadi berlebihan.

Contoh tabiat yang boleh menyebabkan gas terkumpul di dalam perut ialah merokok dan kebiasaan makan/minum terlalu cepat. Keadaan psikologi seperti stres dan cemas juga adalah faktor yang boleh mempengaruhi pengeluaran gas di dalam perut.

Sekiranya anda merasakan tidak mempunyai faktor-faktor yang disebutkan di atas sedangkan anda masih sendawa berlebihan, sebaik-baiknya pergilah berjumpa doktor. Pengeluaran gas yang berlebihan biasanya tercetus apabila berlaku Penyakit Refluks Gastroesofagus - GERD, Sindrom Usus Rengsa - IBS, ketaktoleranan laktosa serta pelbagai gangguan penghadaman yang lain.

Adalah sangat penting dan amat perlu untuk menjalani pemeriksaan doktor sekiranya keadaan banyak sendawa itu disertai dengan rasa sakit perut.

Semoga membantu.


Dr. Janfrional
(Doktor Perubatan dan Kiropraktor Berdaftar)
www.MeetDoctor.com