Panduan elak jadi mangsa fesyen!

Panduan elak jadi mangsa fesyen!

28 Apr – Menjadi mangsa fesyen ini selalunya berlaku pada kebanyakan selebriti-selebriti di seluruh dunia, malah ia juga berlaku pada mereka yang bukan selebriti.

Oleh itu, di sini kami ingin berkongsi dengan anda beberapa panduan supaya anda boleh mengelak dari menjadi mangsa fesyen dan menjadi bahan ketawa orang ramai.

Ketepikan kesesuaian
Tidak semua fesyen terbaru yang sedang menjadi trend sesuai dengan anda. Pastikan potongan, rekaan dan warna barangan yang mahu dibeli sesuai untuk anda.

Seperkara lagi adalah saiz, jangan ikutkan hati juga membeli walaupun saiznya terlalu besar atau kecil buat anda. Berfesyen jangan sampai kelihatan tidak senonoh dan menyakitkan mata.

Bergaya juga perlu seiring dengan personaliti dan gaya hidup anda sendiri. Berpakaian ikut kesesuaian umur juga penting.

Kaca mata hitam dalam pusat beli-belah
Memang tidak dinafikan yang kaca mata hitam adalah cara segera dan mudah untuk anda nampak bergaya. Melainkan anda punya alasan seperti meyembunyikan mata lebam, harus diingat bahawa fungsi asal kaca mata hitam adalah untuk melindungi mata dari bahaya sinaran UV selain meredupkan pandangan.

Obses dengan barang berjenama
Individu begini hanya mementingkan jenama semata-mata ketika membeli pakaian, beg atau kasut. Baginya, tak kisah cantik ke tidak, janji , jenama terkenal. Ada juga yang sanggup membeli barangan tiruan semata-mata nak nampak bergaya bak selebriti.

Berfesyen untuk tarik perhatian semata-mata
Apapun yang anda lakukan, buat untuk kepuasan diri sendiri. Tampil menarik adalah salah satu kunci untuk anda menaikkan keyakinan diri anda. Janganlah bergaya hanya untuk menarik perhatian orang lain semata-mata dan mengharapkan pujian.

Cuba sedaya-upaya untuk tampil bergaya
Dalam bergaya dan berfesyen, tidak perlulah sampai nak pecah kepala memikirkan apa yang mahu dipakai. Tidak perlu beria-ia sangat semata-mata nak nampak cantik dan stailo. Jadilah diri sendiri dan jangan jadikan isu. Ingat, 'less is more' dan 'simple is classy'.