Advertisement

Pelakon jadi pengarah filem

Pelakon jadi pengarah filem

13 Apr - Filem psiko-ngeri arahan Jason Chong, "Dendam Orang Mati" bakal ditayangkan 17 April ini. Filem terbitan KRU Studios ini merupakan filem ketiga arahan Chong selepas "Ular" dan "Belukar", tapi tahukah anda bahawa Jason bermula sebagai seorang pelakon dan banyak membintangi drama-drama hebat di televisyen termasuk "Vice Versa" dan "Cahaya Deepavali"?

Namun begitu, bekas model tersebut bukanlah satu-satunya pelakon yang mengembangkan bakat sebagai pengarah filem. Antara yang lain termasuk:

AR Badul
Anak kepada AR Tompel ini memulakan kerjaya seninya dengan filem "Panglima Badol" pada tahun 1978 dan beberapa filem lain di bawah francais titular Badol.

Mula mengarah filem sendiri pada tahun 1986 dengan filem "Si Jantung", "Pagar-Pagar Cinta" dan "Hantu Siang", Badul membuat keputusan untuk terus menghasilkan beberapa buah filem lagi selepas itu, selain terus berlakon lebih-lebih lagi dalam watak komedi.

Ahmad Idham
Bermula dengan drama-drama bersiri TV3 seperti "Kolej" dengan menggunakan nama Idham Dean, dia kemudiannya popular melalui drama "Cinderella" yang turut dibintangi Haliza Misbun pada tahun 1998. Idham kemudiannya mula membintangi filem-filem seperti "KLU" dan "Senario Lagi", dan mula memegang watak utama dalam "Anaknya Sazali", sebelum memulakan kerjaya sebagai pengarah filem melalui filem "Mr. Cinderella".

Antara filem-filem hit lain yang diarahkannya termasuk "Remp-It", "Jangan Pandang Belakang", dan parodi "Jangan Pandang Belakang Congkak".

Afdlin Shauki
Bermula sebagai penyanyi (turut membuat kolaborasi dalam album "Ikhlas" bersama Sheila Majid dan beberapa penyanyi lain di bawah syarikat rakaman RAP), Afdlin, yang turut dikenali sebagai seorang pelawak stand-up dan hos program-program TV seperti "Gaya TV" dan "Bila Larut Malam" di saluran ASTRO Ria, bermula dengan filem-filem seperti "Anna and the King" pada tahun 1999 dan "Mimpi Moon" pada tahun 2000, sebelum diangkat menjadi pelakon utama filem arahan Othman Hafsham dalam "Soal Hati" dan "Soalnya Siapa".

Tidak lama kemudian, dia mengarahkan filem pertamanya yang turut menjadi filem hit 2004, "Buli", seterusnya menghasilkan beberapa buah filem lagi termasuk "Buli 2", "Sumolah", "Baik Punya Cilok" dan banyak lagi.

Erma Fatima
Bermula dengan filem "Puteri" yang membolehkan dia memenangi Anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada tahun 1987, Erma Fatima meneruskan kerjaya seninya sebagai pelakon drama dan filem dan memenangi pelbagai anugerah lagi. Dia kemudiannya menduduki kerusi pengarah pada tahun 2000 dengan filem "Perempuan Melayu Terakhir" lakonan Vanida Imran yang membolehkannya memenangi anugerah Pengarah Terbaik Festival Filem Antarabangsa Pyongyang ke-7.

Antara filem-filem lakonannya yang lain termasuk "Hati Bukan Kristal", "Bintang Malam", "Femina", "Pemburu Bayang", dan "Fantasi".

Hans Isaac
Sekalipun kini memiliki syarikat produksi sendiri dan mengarah filem dan teater termasuk filem "Cuci" dan "Lemak Kampung Santan", bekas model dan kawan karib Afdlin Shauki ini banyak membintangi filem dan drama dan merupakan antara hero bukan Melayu yang paling banyak memegang peranan utama dalam filem.

Antara filem lakonannya termasuk filem "Ringgit Kasorrga" pada tahun 1993, "Amok", "Scoop", "Hanya Kawan", "Gemilang", "Baik Punya Cilok", "Qabil Khusry Qabil Igam" dan banyak lagi.

Khir Rahman
Bermula dengan teater bersama para pelakon seperti Zul Huzaimy, Adlin Aman Ramlie dan Melissa Saila, nama pelakon yang juga anak kepada penyanyi Dato' A. Rahman Hassan ini mula dikenali ramai melalui watak Tun Mamat dalam "Puteri Gunung Ledang", dan seterusnya membintangi filem-filem seperti "Potret Mistik", "Pontianak Harum Sundal Malam 2", dan filem-filem komedi seperti "Rock" dan "Cuci".

Selepas mencuba bidang penulisan skrip melalui filem "Syaitan" arahan Bade Hj. Azmi, Khir diberikan peluang untuk mengarahkan filemnya sendiri melalui filem terbitan Raja Azmi dan Metrowealth Production, "...Dalam Botol".

Piere Andre
Anak kepada pelakon Khatijah Tan ini kini popular melalui filem-filem arahannya seperti "9 September", "I'm Not Single" dan "Jangan Tegur", malah turut menghasilkan skrip untuk filem arahan Ahmad Idham, "Jangan Pandang Belakang".

Tapi Pierre Andre juga bermula sebagai pelakon, melalui projek filem dan drama seperti "Potret Mistik", "Cinta Fotokopi", "Dunia Baru" dan "Salon". Malah, wataknya sebagai Reza dalam "Gol dan Gincu" pada tahun 2005 menaikkan lagi namanya sebagai seorang bintang utama.

Yusof Haslam
Sekalipun dikenali dengan gelaran "Six Million Dollar Man" kerana kejayaan filem-filem komersial arahannya seperti francais "Sembilu", "Maria Mariana", "Gerak Khas" dan banyak lagi filem romantik yang memaparkan penyanyi popular seperti Awie, Erra Fazira dan Ziana Zain, Datuk Yusof Haslam sebenarnya sudah mula berlakon sejak 1970 lagi.

Antara filem dan drama TV lakonan serta terbitannya ialah "Permintaan Terakhir", "Bukit Kepong", "Penentuan", "Ribut Barat", "PJ", "Remang-Remang Kota Raya", "Roda-Roda Kota Raya", "Wira Angkasa", "Bayangan Maut" dan "Pemburu Bayang", Malah beliau juga pernah memegang watak tambahan sebagai pengawal Menteri Fasola dalam filem "Laksamana Do Re Mi" arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Syamsul Yusof
Bapak borek anak rintik. Pengarah muda Syamsul Yusof pernah mengarahkan filem paling hit tahun 2011, "KL Gangster" yang memungut kutipan pecah panggung lebih RM11 juta, tapi bermula hanya sebagai pelakon pembantu dalam filem "Gila Gila Pengantin Popular" pada tahun 2005.

Selain itu, dia turut membintangi filem-filem arahannya sendiri seperti "Evolusi KL Drift", "Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam", "KL Gangster" dan "KL Gangster 2" serta "Aku Bukan Tomboy".

Yusry KRU
Seorang daripada anggota kumpulan tiga beradik KRU ini bukan sahaja mengarah filem, menerbitkan dan mencipta lagu, malah dia juga pernah menjadi antara teraju utama pilihan ramai di awal milenium melalui filem-filem seperti "Gerak Khas The Movie 2", "Mr. Cinderella" dan "Mr. Cinderella 2", "Cinta Kolestrol", "Kuliah Cinta", "Hingga Hujung Nyawa", dan "Lady Boss", kebanyakannya dilakonkan bersama bekas isterinya , Erra Fazira.

Memulakan bidang lakonan melalui filem "Awas" dan "Cinta Metropolitan" di samping dua saudaranya Norman dan Edry, Yusry kemudiannya memulakan kerjaya pengarahan melalui filem adiwira komedi "Cicakman", "Cicakman 2", "Cintaku Forever" dan percubaan pertama KRU di peringkat antarabangsa, "Hikayat Merong Mahawangsa" dan "Vikingdom".

Aziz M. Osman
Muncul sebagai pelakon kanak-kanak dalam "Sayang Anakku Sayang" malah turut memenangi anugerah Pelakon Kanak-Kanak Terbaik di Festival Filem Asia ke-22 di Korea Selatan pada tahun 1976, pengarah filem yang popular melalui filem-filem seperti "Puteri Impian", "Trauma" dan francais "Senario" serta "Gila-Gila Pengantin" ini turut membintangi filem-filemnya sendiri seperti "XX Ray", dan "XX Ray II".

Malah, sudah menjadi trademark Aziz, yang popular dengan gelaran Abang Long dalam industri filem, untuk membuat kemunculan kameo dalam filem-filem arahannya sendiri.