Pelawak Zizan nak kahwin dua tahun lagi



Zizan Razak, namanya kini memang tengah melonjak naik. Bukan sahaja menjadi terkenal kerana humor, Zizan kini semakin ligat sebagai seorang pelakon filem. Selepas filem 'Hantu Bonceng', Zizan yang juga terlibat dalam filem 'KL Gangster' bakal muncul dengan beberapa buah filem lagi.

Paling terkini, lelaki kelahiran Dungun, Terengganu tersebut bakal muncul dengan filem 'Mael Lambong' pada 21 Jun ini.

Dalam filem arahan Ahmad Idham tersebut, Zizan berganding dengan pelakon wanita yang selalu dikaitkan mempunyai hubungan 'mesra' dengannya, iaitu Juliana Evans. Ia mengangkat kisah 'Mael Lambong', karakter yang dibentuk bintang berusia 28 tahun itu semasa berada dalam gelanggang Maharaja Lawak.

"Cabaran membawa Mael Lambong ke dalam versi filem sangat besar dan saya telah memberi yang terbaik. Saya berharap agar ia dapat diterima baik," ujarnya tentang filem yang banyak menjalani penggambaran di Terengganu itu. Malah filem tersebut yang telah dipertontonkan kepada media baru-baru ini dikatakan lebih kemas dan tidak terlalu terdesak membuat penonton ketawa seperti filem lakonannya sebelum ini dengan pengarah yang sama, 'Hantu Bonceng'.

Zizan Razak tidak 'pilih bulu'
Zizan: "Urusan Dira bukan urusan saya"


Ditanya tentang gandingan bersama Juliana atau mesra dipanggil Jue menerusi filem tersebut, Zizan memberitahu tidak mengalami banyak masalah memadangkan mereka telah lama berkawan. Ini termasuklah beberapa adegan lasak yang membabitkan mereka berdua.

Dia yang dijolok tentang persoalan hubungan mesranya dengan Jue bagaimanapun masih memberi jawapan yang sama iaitu mereka hanya sekadar kawan rapat. Tambahnya, untuk waktu sekarang, dia tak punya masa untuk bercinta kerana jadual kerja yang terlalu padat.

"Saya tidak mahu memberi komitmen dalam bercinta kerana tidak mahu kekasih saya berasa terpinggir atas kesibukan saya. Saya bekerja siang dan malam sehingga jatuh sakit, namun saya gembira dengan apa yang saya lakukan. Jadi memang tak ada masa nak bercinta," ujarnya.

Tambah Zizan, dia bagaimanapun mempunyai target untuk berkahwin pada usia 30 tahun. Ini bermakna dia mempunyai tempoh dua tahun lagi untuk mencari bakal isteri. Adakah Jue termasuk dalam carta untuk dijadikan suri hidupnya?

Jawab Zizan: "Saya tidak boleh menolak kerja Tuhan. Sebagai manusia saya hanya mempunyai rancangan untuk berkahwin pada usia 30 tahun. Tapi buat masa sekarang, saya memang terlalu sibuk bekerja.

Selain 'Mael Lambong' yang bakal menemui penonton, Zizan kini sibuk dengan penggambaran filem 'Bikers Kental' di Thailand. Dalam pada masa yang sama, dia juga masih kekal mengacara program 'Melodi' bersama Awal Ashaari selain sibuk dengan beberapa projek komedinya.