Advertisement

Pengasas Ford Models meninggal dunia

Pengasas Ford Models meninggal dunia

15 Jul – Pengasas Ford Models Agency, Eileen Ford telah menghembuskan nafas terakhir pada 9 Julai lalu akibat komplikasi ketumbuhan pada otak dan osteoporosis.

Dipetik daripada laporan Vogue, Ford meninggal dunia di sebuah hospital di Morristown, New Jersey. Dia berusia 92 tahun.

Seorang yang berpengaruh dalam industri fesyen sejak menubuhkan agensi tersebut dengan suaminya, Gerard 'Jerry' Ford di kediaman mereka di Manhattan pada tahun 1946, Ford Models telah mewakili peragawati-peragawati yang mempunyai nama besar seperti Twiggy, Christie Brinkley, Lauren Hutton, Christy Turlington Burns, Ali MacGraw, Grace Jones, Naomi Campbell dan Elle Macpherson.

Ford juga terkenal dengan sikap suka memberi galakan dan sokongan serta memastikan segala permintaan kliennya dipenuhi. Malah dia juga sering menjemput peragawati yang baru tiba di New York untuk tinggal bersamanya dan Jerry agar dia boleh membantu mereka menyesuaikan diri dengan kehidupan baru.

Pada tahun 1995, anak perempuannya, Katie telah mengambil alih agensi tersebut selepas mereka bersara.

Peragawati Laura Bailey yang pernah diwakili oleh Ford Models pada tahun 1990-an berkata, "Pengaruh, visi dan kebaikan Eileen akan sentiasa diingati dan diraikan oleh semua yang berada dalam industri fesyen.

"Kisah hidup bersama Eileen sememangnya lagenda, malah kehidupan awal saya di Manhattan telah dibentuk oleh keluarga Ford Models. Ia adalah satu tempoh yang saya hargai."

Selain daripada Katie, Ford turut mempunyai tiga anak lain iaitu Jamie, Billy dan Lacey.

[Kredit foto: Vogue]