Pengislaman Felixia Yeap direstui ibu

Pengislaman Felixia Yeap direstui ibu

4 Jul – Tepat pada jam 6.30 petang semalam dengan secara rasminya model jelita Felixia Yeap memeluk agama Islam dengan mengucap dua kalimah syahadah di sebuah masjid berdekatan Taman Tun Dr. Ismail.

Bekas model sensasi itu yang pernah mencetuskan kontroversi sebelum ini apabila mula mengenakan hijab walaupun bukan beragama Islam ketika itu menganggap hari dirinya memeluk Islam diibaratkan seperti kelahiran semula dirinya ke dunia ini.

"Hari ini bukan hanya hari lahir saya, tetapi juga hari kelahiran semula saya, hari saya kembali akhirnya selepas 28 tahun mencari jalan pulang.

"Saya telah Islam di hati (tanpa disedari), kini akan mengucapkan dua kalimah syahada saya di depan keluarga terdekat saya, dan juga para kenalan yang telah seringkali menyokong dan memberi galakan pada saya suapa terus istiqamah," ujar Felixia di laman blognya.

Selain itu, Felixia turut menjelaskan pengislaman menjadi lebih bermakna apabila direstui oleh orang yang paling disayanginya iaitu ibu kandungnya sendiri.

"Saya bertuah kerana dikurniakan seorang ibu yang bukan sahaja tabah untuk membesarkan saya dan adik dalam keluarga, tetapi rahmat terbesar adalah apabila beliau seorang yang bukan Islam, langsung tidak mengetahui tentang Islam (kecuali yang Islam tak boleh makan khinzir).

"Dan seringkali disindir saudara mara yang lain kerana anak perempuannya bertudung sehingga ke muka depan surat khabar dan sebagainya, tidak membantah, malah merestui keputusan saya ini apabila saya memberitahu beliau yang saya sedang mempelajari tentang agama Islam dan bercadang untuk memeluknya," jelasnya lagi.

Ibunya juga turut mengatakan Felixia sudah banyak berubah ke arah lebih baik serta matang dan dewasa.

Semoga dengan pengislaman Felixia ini mendapat keberkatan dan dimuliakan sempena bulan Ramadan ini dan moga terus istiqamah dalam menjalani kehidupan sebagai seorang muslimah yang beriman dan bertaqwa.