Advertisement

Puteri Sarah ‘rimas’ diganggu wartawan


DUNIA hiburan memang sering diwarnai dengan gosip dan kontroversi. Hakikatnya sudah menjadi lumrah artis sering menjadi buruan media yang tidak pernah jemu mengejar berita sensasi.

Namun begitu, kisah buruan yang satu ini agak menarik sehingga artis terpaksa menukar nombor telefon gara-gara tidak tahan dengan asakan bertali arus pertanyaan seorang wartawan tentang status hubungannya dengan teman lelaki yang juga merupakan seorang pengarah muda berbakat besar.

Puteri Sarah Liyana yang kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama rantaian berjudul 'Cinta Berkalung Duri' dikatakan agak tertekan gara-gara ‘diganggu’ seorang wartawan hiburan akhbar mingguan yang sering menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) kepadanya.

Khabarnya, wartawan tersebut terlalu mendesak untuk menemuramah Puteri Sarah dan mendapatkan pengesahan mengenai status hubungan pelakon itu dengan pengarah dan pelakon, Syamsul Yusof.

Wartawan hiburan itu pula memang terkenal di kalangan selebriti tempatan sebagai seorang yang agresif mendapatkan berita sensasi artis. Penulisannya yang agak ‘menyengat’ dan ‘pedas’ menyebabkan beliau sering digeruni di kalangan artis Malaysia. 

BACA:
Puteri Sarah dan Syamsul Yusof kembali bercinta?

Aktres baru terima SMS lucah dari pengarah
Suki Low mohon waran tangkap pengarah Galaxy Music
Penyanyi popular 90an bunuh suami sendiri

Gosip mengenai hubungan cinta mereka memang telah lama diperkatakan oleh peminat namun begitu, Syamsul dan Puteri Sarah tidak pernah mengesahkan status hubungan mereka.

Heroin filem 'Lu Pikirlah Sendiri de Movie' itu dikatakan bimbang reputasinya tercemar jika tidak melayan permintaan wartawan tersebut.

“Sebenarnya saya agak terkejut membaca SMS yang dihantar oleh wartawan itu kepada Puteri Sarah kerana tonasi yang digunakan agak kasar dan berbau ‘ugutan’. Saya bersimpati dengan Puteri Sarah kerana dia agak terganggu sekarang,” ujar pengarah drama Cinta Berkalung Duri, Harris Fadzillah Abd Samad.

Menurut Harris, beliau dan beberapa pelakon drama tersebut turut menasihati Puteri Sarah untuk melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa sebagai langkah berjaga-jaga.

Puteri Sarah dikatakan terpaksa menukar nombor telefon bimbitnya beberapa kali akibat tidak tahan dengan asakan dari wartawan itu.

“Saya tidak berniat untuk campur tangan dan saya amat memahami niat wartawan itu dalam menjalankan tugas beliau. Saya cuma beranggapan yang kehidupan peribadi seseorang artis itu patut dihormati. Ada kemungkinan yang Puteri Sarah tidak bersedia lagi untuk membuat apa-apa pengakuan,” kata Harris.

Akhir bulan lalu, Puteri Sarah turut mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan tentang hubungan cinta dengan Syamsul.

'Cinta Berkalung Duri' yang bakal ditayangkan di RTM1 turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Jalaluddin Hassan dan Fauziah Nawi. Penggambaran drama yang kini memasuki musim kedua itu sedang dijalankan di beberapa buah lokasi di sekitar Selangor.

Syamsul kini sedang berada di Bangkok untuk menjalankan proses penyuntingan filem aksi arahannya, 'KL Gangster 2'.

Datuk Yusof Haslam yang merupakan bapa kepada Syamsul juga turut menjadi tumpuan pihak media yang ingin mendapatkan pengesahan mengenai status hubungan anaknya dan Puteri Sarah.

Pengarah tersohor itu sedar yang kehidupan anaknya terlalu peribadi dan enggan memberikan sebarang komen mengenai perkara berkenaan.

Ammar Alfian patut jauhkan diri dari Puteri Sarah

Nama Ammar Alfian, pelakon yang merupakan bekas teman lelaki Puteri Sarah sering dikaitkan selepas gosip tentang hubungan cinta Syamsul dan pelakon wanita itu mula timbul sejak Oktober lalu.

“Saya tidak faham mengapa Ammar perlu campur tangan dalam hal ini kerana saya percaya beliau hanya mengeruhkan lagi keadaan,” kata sumber yang rapat dengan Puteri Sarah.

Ammar sudah tidak ada apa-apa hubungan dengan Puteri Sarah jadi beliau tidak perlu lagi memberi apa-apa kenyataan pada pihak media,” katanya.