Raja Azmi sah bercerai


Selepas hidup bersama selama 28 tahun dan telah melalui pelbagai dugaan yang tidak mudah, penerbit Raja Azmi Raja Sulaiman akhirnya dengan rela memegang status janda selepas diceraikan oleh suaminya yang merupakan bekas pemain badminton negara, Mohd Jalani Mohd Sidek pada tanggal 27 Jun lalu. Pasangan tersebut bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Gombak, Selangor.

Raja Azmi yang mahukan penceraian dan perkara itu dipersetujui Jalani. Alasan wanita berusia 53 tahun itu, dia tidak lagi sanggup menanggung malu kerana Jalani dituduh dayus apabila tidak menceraikan dia selepas beberapa siri kontroversi yang melanda termasuk dakwaan ditangkap khalwat bersama adik angkatnya, Roslin Hashim yang juga merupakan jaguh badminton negara pada tahun lalu.

"Ini adalah jalan yang terbaik. Mungkin ia menjadi pencuci dosa-dosa saya," katanya kepada pemberita.

Raja Azmi anggap terima 'hadiah' Allah

Menurut penerbit tersebut yang terkenal dengan kelantangannya bersuara, dia terfikir untuk meminta cerai dari Jailani sejak bulan Februari lalu. Ia didorong oleh perasaan bersalah selain tertekan dengan keadaan sekeliling selepas rumah tangganya terus-menerus dihimpit kontroversi.

"Saya sangat tertekan apabila terus dihimpit fitnah dan malu apabila Jalani dituduh dayus kerana tidak menceraikan saya. Saya juga sudah tidak tahan dengan dugaan yang menimpa kami, jadi jalan terbaik adalah dengan berpisah. Selepas berbincang dan anak-anak juga mengetahui masalah kami, mereka sebagai orang dewasa memahami situasi kami untuk bercerai," katanya lagi.

Ujar Raja Azmi, bukan dia dan Jailani tidak berusaha untuk menyelamatkan rumah tangga mereka, namun dugaan yang terlalu bertimpa-timpa membuat mereka pasrah dengan memilih cerai sebagai jalan penyelesaian. Tambahnya: "Walaupun bercerai, kami tetap berhubungan baik."

Ditanya tentang perasaannya bergelar janda, dalam nada tawa Raja Azmi menjawab: "Biasa saja kot, lagipun pada usia sebegini, mungkin tak banyak dugaan menjadi janda."

Jalani pula saat ditanya tentang keputusannya menceraikan pengarah dan penerbit itu hanya memberitahu dia reda dan bersetuju dengan permintaan bekas isterinya itu. Dia juga menyatakan tidak menyimpan dendam terhadap Raja Azmi.

Raja Azmi dan Jalani telah berkahwin di Kamunting, Perak pada tahun 1984. Hasil perkongsian hidup
selama 28 tahun, mereka telah dikurniakan tiga orang anak. Mereka juga telah mempunyai seorang cucu.