Advertisement

Sasha Elite pasrah berpisah dengan Salvo


Selepas beberapa minggu lalu mengaku berhasrat untuk bercerai, Sasha Saidin yang merupakan bekas anggota Elite akhirnya diceraikan talak satu oleh suaminya, Salyo Priyanto Nutosoemarsono di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor pada 10 Julai lalu.

Sasha dilihat berdoa selepas Salyo yang merupakan warga Indonesia tersebut menjatuhkan talak ke atasnya sambil memeluk ibunya. Pasangan berkenaan telah mendirikan rumah tangga pada 10 November 2007 di Masjid Baitussalam, Duren Tiga, Jakarta Selatan dan dikurniakan seorang anak lelaki Adam Aryasenna Notoemarsono yang berusia tiga tahun.

Walaupun enggan menceritakan kisah perceraian mereka, Sasha bagaimanapun menulis sepucuk surat yang diberikan kepada pihak mahkamah mengatakan bahawa penceraian tersebut berlaku kerana tiada lagi kasih sayang dan persefahaman antara mereka.

Antara lain, penyanyi dan juga pelakon tersebut memberitahu bahawa dia dan Salyo masih tinggal serumah, namun tidak lagi tidur sebilik sejak dua tahun lalu.

"Kami sudah tidak tidur sebilik sejak dua tahun lalu. Dalam tempoh tersebut juga, kami telah berusaha untuk memperbaiki masalah rumah tangga kami dengan kedua belah keluarga turut membantu. Kami juga telah mendapatkan kaunseling secara peribadi, tetapi ia masih tidak dapat membantu kami. Mungkin, ini adalah jalan yang paling baik sebagai penyelesaian rumah tangga kami.

"Apa yang penting, kami tidak bergaduh besar dan membuat keputusan ini secara matang bersama-sama. Kami juga akan berusaha menjaga anak kami iaitu Adam dengan sebaik mungkin walaupun telah berpisah," ujar kakak kepada pelakon Zain Saidin itu.

Tambah Sasha, dia tidak menyesal dengan apa yang telah berlaku dan melihat bahawa terdapat hikmah dalam setiap musibah yang melanda.

"Saya harap lepas ini untuk terus aktif semula dan memberi fokus terhadap karier seni saya," katanya tentang perancangan hidup selepas menjadi ibu tunggal.

Penceraian antara Sasha dan Salyo merupakan penceraian kedua buat wanita berusia 36 tahun itu. Sasha sebelum ini pernah berkahwin dengan seorang lelaki Inggeris, Jason Skinner atau Johan Abdullah di London, England pada 2003 sebelum bercerai dua tahun kemudian tanpa dikurniakan anak.

Sementara itu, mahkamah memerintahkan supaya Sasha menjalani edah selama tempoh tiga kali suci bermula semalam dengan Salyo diperintah membayar wang edah RM300 setiap bulan selain nafkah anak RM500 setiap bulan. Salyo yang merupakan penerbit di Indonesia bersetuju dengan keputusan yang ditetapkan mahkamah.