Selebriti berhijrah sempena Ramadan

Selebriti berhijrah sempena Ramadan

12 Jul – Ramadan sering menjadi titik permulaan seseorang manusia itu melakukan perubahan ke arah kebaikan sama ada dari segi penampilan mahupun personaliti.

Walaupun tidak semestinya menunggu bulan yang mulia ini untuk melakukan perubahan, namun cita-cita dan keazaman yang mendorong untuk melakukan penghirahan ke arah lebih baik pada Ramadan wajar dicontohi.

Sejak awal Ramadan lalu menyaksikan segelintir selebriti wanita memilih untuk berhijrah dengan berhijab dan bertudung sempena bulan penuh keberkatan ini. Malahan, ada juga yang memilih bulan ini untuk memeluk agama Islam.

Mari kita lihat siapakah gerangan selebriti wanita yang kami maksudkan ini.

Neelofa
Pengacara rancangan hiburan Meletop ini membuat kejutan kepada industri hiburan dengan berhijrah memakai hijab baru-baru ini. Namun, menerusi temubual dirinya bersama radio IKIM beberapa hari yang lalu, Neelofa akhirnya mendedahkan kisah sebenar disebalik pendedahan dirinya berhijab. Lebih mesra disapa dengan panggilan Lofa, selebriti yang pernah dikaitkan dengan Hans Isaac ini menceritakan kisah perjalanan beliau sepanjang lebih setahun dalam mencari kebahagiaan yang kekal selepas memiliki segalanya di dalam hidup.

Selain mengumpul ilmu dan mengikuti kelas-kelas agama, Lofa juga nekad berubah dan berhijrah dengan melengkapkan solat lima waktu dan berkat doanya dalam solat hariannya, akhirnya Allah turunkan hidayah buat hambaNya.

Umie Aida
Adik kepada pelakon dan pengarah hebat Erma Fatima ini tidak ketinggalan dalam berubah mengenakan hijab di kepalanya sempena kemunculan Ramadan kali ini.

Dirinya mengakui berasa seronok dan selesa apabila bertudung dan mulai berasa tenang dan jatuh cinta dengan penampilannya kini.

Perubahannya berlaku apabila mulai menyertai kelas agama semenjak tahun lalu dan mula membuka hatinya untuk membuat keputusan ini.

Ana Dahlia
Aktres ini nyata berbeza dan lebih manis apabila mengenakan hijab. Bekas isteri kepada Chef Riz iaitu anak lelaki kepada selebriti chef terkenal Chef Wan ini dikatakan juga membuat keputusan untuk bertudung sempena kedatangan bulan Ramadan.

Keputusannya itu turut mendapat sokongan daripada para peminat dan khabarnya pelakon wanita ini bakal menamatkan zaman bujangnya tidak lama lagi. Betul ke?

Ziana Zain
Walaupun hanya berhijab di bulan Ramadan, namun pelakon dan penyanyi bersuara lantang ini tampak lebih cantik dan ayu dengan bertudung.

Ziana juga mengakui dirinya akan berhijab apabila menghantar anak-anak ke sekolah demi menghormati bulan Ramadan dan ianya juga merupakan salah satu pesanan daripada ibunya yang menyarankan agar dirinya memakai tudung sebagai menghormati bulan Ramadan.

Namun siapa tahu berkat doa peminat sempena Ramadan ini imejnya begini akan kekal berkekalan. InsyaAllah.

Raissyah Rania Yeap/Felixia Yeap
Tanggal 3 Julai bersamaan 5 Ramadan menyaksikan bekas model Playboy ini berhijrah dengan memeluk agama Islam. Kesungguhan Felixia atau nama barunya Raisyyah Rania mendalami Islam sebelum memeluknya wajar dipuji dan menjadi contoh kepada umat Islam yang lain.

Walaupun sudah berhijab walaupun ketika itu masih belum beragama Islam, Felixia tidak gentar dengan segala tohmahan dan pandangan terhadap dirinya.

Dengan pengislamannya pada awal Ramadan lalu, semoga saudara Islam baru terus istiqamah dalam menjalani hidupnya sebagai Muslimah selepas ini.