Shila Amzah nafi anak tirikan Malaysia

Shila Amzah nafi anak tirikan Malaysia

22 Apr - Shila Amzah menafikan dakwaan bahawa dirinya membelakangkan Malaysia apabila bakal membuat konsert sulungnya di Shanghai, China terlebih dahulu sebelum menghiburkan peminat di Malaysia pada September depan.

Menurut Shila, isu berat sebelah atau menganak tirikan Malaysia tidak timbul sama sekali memandangkan perjanjian penganjuran konsert sulungnya di China terlebih dahulu dicapai sebelum penganjuran konsert di Malaysia.

"Tidak timbul langsung isu menganak tirikan negara sendiri. Kalau ikutkan hati memang Shila memang ingin membuat persembahan di negara sendiri dahulu tetapi rezeki terlebih dahulu ada di Shanghai kerana perjanjian untuk mengadakan konsert terlebih dahulu dicapai di sana.

"Untuk mengadakan konsert mega adalah impian setiap penyanyi dan Alhamdulillah rezeki untuk mengadakan konsert akhirnya tercapai lebih-lebih lagi ianya akan diadakan di luar negara. Ia adalah impian menjadi kenyataan.

"Sungguhpun akan mengadakan konsert di Shanghai terlebih dahulu tapi Shila berjanji akan memberikan sebuah pengalaman dan persembahan istimewa kepada peminat di Malaysia. Jadi, samada ianya di Malaysia mahupun di China, Shila akan berikan yang terbaik pada konsert itu kelak,"ujar Shila yang ditemui pada siding media pengumuman Konsert solonya, "Shila Amzah Love Concert in Malaysia" bertempat di Menara Kuala Lumpur baru-baru ini.

Shila juga berasa bangga dan bersyukur kerana konsert sulungnya itu bakal menampilkan kolaborasi dua figura hiburan tersohor negara, Jennifer Thomson dan Helen Yap yang akan bertindak selaku penerbit konsert untuk kedua-dua konsertnya kelak.

"Shila bersyukur sangat-sangat, Alhamdulillah rezeki datang tanpa diduga. Dapat membuat konsert mega pada usia muda adalah impian yang memang tidak diduga datang dalam masa terdekat. Tidak cukup dengan itu berpeluang pula bekerjasama dengan dua nama gah dalam industri hiburan tanahair iaitu Jennifer Thomson dan Helen Yap sebagai penerbit konsert memang sangat-sangat menakjubkan.

"Siapa yang tak kenal mereka berdua kan? Shila menang sangat-sangat berbangga dapat bekerjasama dengan mereka paling penting ianya seratus peratus menggunakan produksi Malaysia."

Menyentuh dengan lebih lanjut mengenai persembahan pada konsertnya kelak, Shila menjadikan cinta sebagai subjek utama konsertnya selain bakal menampilkan penyanyi bertaraf antarabangsa dalam konsertnya kelak.

"Sesuai dengan nama konsert Shila iaitu "Shila Amzah Love Concert", sudah pasti cinta diangkat menjadi tema konsert itu nanti kerana Shila mahu sebarkan perasaan cinta dalam pelbagai aspek kepada para peminat yang datang menyaksikan konsert Shila nanti.

"Pada konsert itu nanti, Shila akan menyampikan lebih 20 buah lagu termasuk lagu-lagu berbahasa Malaysia, Mandarin, Inggeris serta beberapa buah lagu bahasa lain yang pastinya akan menjadi kejutan buat para penonton.

"Lebih istimewa, konsert itu juga akan menampikan penyanyi antarabangsa sebagai tetamu undangan. Identiti penyanyi itu masih dirahsiakan dan akan diumumkan pada sidang media sebelum konsert diadakan, apa yang pasti penyanyi jemputan tersebut pastinya seorang lelaki, sesuai dengan tema cinta, baru ada 'feel'," jelas Shila berseloroh.

Konsert Cinta Shila Amzah dianjurkan oleh Mega Ultimate Sdn Bhd dengan kerjasama Shila Amzah Entertainment Sdn Bhd dan akan diadakan pada 13 September 2014 bertempat di Mega Star Arena pada pukul 8 malam.

Tiket dijual pada harga RM268, RM138 dan RM88.

Shila akan mengumumkan tarikh penjualan tiket dalam sidang media khas yang akan diadakan pada Mei depan.