Advertisement

Tabiat beli-belah tanpa sebab

Tabiat beli-belah tanpa sebab

Tabiat membeli-belah seringkali dikaitkan dengan wanita. Ada yang menganggap ia sebagai satu terapi untuk hilangkan tekanan, melapangkan fikiran, memberi kepuasan diri, menggembirakan hati di kala sedih dan juga ganjaran sekiranya mereka berjaya dalam sesuatu perkara.

Kami kongsikan beberapa sebab mengapa anda TIDAK perlu membeli -belah atau menghabiskan wang tanpa sebab.

MEMBELI KETIKA BOSAN
Pasti ramai yang boleh kaitkan diri mereka dengan sebab ini. Ya, kebanyakan daripada anda membeli-belah ketika berasa bosan lebih-lebih lagi secara dalam talian yang lebih sukar dikawal kerana kemudahan berada di hujung jari anda. Menurut seorang pakar terapi Peggy Wynne, ia seperti berjudi dalam talian. Ini kerana anda tidak perlu ke mana-mana, atau lakukan apa-apa untuk membeli sesuatu. Ia memang mudah dan memberi kepuasan serta-merta, tetapi adakah anda benar-benar memerlukan barangan tersebut?

MEMBELI KETIKA EMOSI TIDAK MENENTU
Baru sahaja ditinggalkan? Bergaduh dengan teman baik? Atau mungkin anda baru saja dipecat? Apa pun alasan anda, membeli-belah ketika emosi tidak menentu sememangnya patut dielakkan kerana anda mungkin akan terlalu mengikut perasaan dan belanja berlebihan. Ia mungkin menggembirakan anda buat seketika, kemudian penyesalan timbul apabila anda 'sedar'.

MEMBELI KETIKA BERCUTI
Anda sedang bercuti dan terjumpa beberapa butik tempatan yang menjual pakaian atau barangan cantik. Persoalannya perlukah anda membeli? Diingatkan anda sedang bercuti dan mungkin mempunyai bajet yang ketat, malah anda tidak begitu memerlukannya ketika itu. Anda mungkin mempunyai dua perasaan iaitu; beli sekarang atau rasa menyesal apabila anda pulang ke rumah selepas percutian berakhir. Wynne menyatakan perasaan penat dan tidak cukup rehat seringkali dikaitkan dengan beli-belah secara tidak terancang. Tidak mengapa membeli cenderamata sebagai peringatan asalkan ia tidak berlebihan.

MEMBELI KETIKA JUALAN MURAH
Semua orang sukakan jualan murah walaupun terpaksa bersesak dengan orang ramai, tetapi ia memberi kepuasan kepada anda, bukan? Potongan harga atau tawaran seperti 'dua untuk satu', 'beli satu percuma satu' dan sebagainya tidak dapat ditolak walaupun hakikatnya anda tidak memerlukannya. Anda akan berasa rugi sekiranya tidak merebut tawaran yang diberikan. Ramai yang berasa puas hati dan seperti menerima kejayaan besar apabila berjaya merebut tawaran tersebut. Bukan mudah untuk berkata 'tidak', tetapi apa kata anda bersikap lebih memilih atau membeli apa yang diperlukan daripada apa yang diinginkan.

MEMBELI UNTUK 'MASA DEPAN'
Ianya bukan saiz anda, tapi tidak mengapa! Mungkin 'satu hari' nanti, berat badan anda akan turun dan pakaian yang dibeli itu muat dipakai. Berhenti membeli untuk masa depan kerana hakikatnya, kita tidak tahu apa yang bakal berlaku pada masa akan datang. Anda perlu bijak membezakan dunia realiti dan fantasi. Bagaimana jika apa yang dibeli tidak boleh dipakai langsung? Bukankah ia merugikan wang anda?

Walau apa pun alasan anda untuk membeli-belah, pastikan anda tidak keterlaluan dan hanya membeli apa yang diperlukan sahaja bagi mengelakkan pembaziran. Ini kerana 'terapi' ini mampu menjadi tabiat buruk jika anda membeli-belah tanpa arah tujuan atau sekadar suka-suka.