Advertisement

"Teka-Teki" buah tangan terbaru Maya Karin

"Teka-Teki" buah tangan terbaru Maya Karin

21 Apr – Setelah lama menyepi dari dunia muzik, penyanyi dan pelakon jelita Maya Karin akhirnya telah tampil dengan album terbarunya berjudul "Teka-Teki" sebagai hadiah kepada peminat setianya.

Walaupun terpaksa menunda sebanyak dua kali majlis pelancaran dan 'showcase' disebabkan rasa simpati dan menghormati perasaan ahli keluarga yang terlibat dengan pesawat MAS MH370, namun Maya tetap memberikan persembahan yang terbaik.

"Saya telah melakukan persiapan yang secukupnya untuk 'showcase' saya tadi dan berharap para media dan peminat saya terhibur dengan persembahan saya tadi (malam Jumaat) dan dijadikan sebagai kenangan manis yang tidak dapat dilupakan," katanya yang ditemui pada majlis pelancaran album terbarunya "Teka-Teki" di No Black Tie, malam Jumaat lalu.

Dalam pada itu, Maya berkata, buat masa ini dia akan berehat sementara waktu daripada berlakon bagi menumpukan perhatiannya kepada promosi albumnya.

"Saya akan tumpukan perhatian kepada nyanyian dan turun promosi di beberapa lokasi di seluruh Malaysia. Ini juga merupakan album ketiga saya selepas hampir enam tahun menyepi."

Album yang memuatkan tujuh buah lagu iaitu "Bintang Syurga", "Logika", "Tersenyum", "Teka-Teki", "Titi Rahsia", "Selamat Tinggal Cinta" dan "Hanya Sebentar" telah pun berada di pasaran sejak Februari lalu.