Advertisement

Tips penjagaan hijab mengikut jenis fabrik

Tips penjagaan hijab mengikut jenis fabrik

19 Ogos – Sebagaimana seseorang wanita itu menjaga rapi rambut mereka, hijab atau tudung juga memerlukan penjagaan rapi agar dapat mengekalkan bentuk asal warna dan rupanya.

Jangan sesekali anda mengambil mudah dan sambil lewa kerana tudung yang dibeli dengan harga yang agak mahal tidak dapat dipakai berulang kali.

Dipetik dari Dara.com, tudung yang terhasil dari pelbagai variasi fabrik menuntut anda melakukan cara basuhan yang berbeza agar tudung yang dibeli mampu kekal kelihatan seperti anda baru sahaja membelinya.

Hijab fabrik sutera
Bagi hijab dari fabrik jenis ini, amalkan basuhan tangan dan elakkan dari menggunakan berus yang kasar kerana ia akan merosakkan urat benang sutera yang sangat lembut. Rendamkan sahaja dengan air yang dicampur dengan pelembut kain agar ianya lebih lembut, bersinar dan menambah seri warna pada corak tudung tersebut. Namun, jika tudung tersebut terkena kotoran, anda harus segera mencucinya dan elakkan dari menggunakan peluntur agar fabrik tudung tidak mudah reput.

Hijab fabrik kapas
Kebiasaannya tudung bawal antara yang paling popular menggunakan fabrik jenis ini kerana lebih selesa sesuai dengan iklim panas di negara kita. Elak dari menggunakan peluntur atau bahan kimia lain selain dari pencuci biasa.

Basuhan tangan dan mesin basuh boleh digunakan dengan menggunakan air sejuk mahupun suam. Asingkan tudung berlainan warna bagi mengekalkan warna asal tudung dan apabila menggosok gunakan sahaja semburan air atau 'steam iron' untuk mengelakkan sedikit kecutan.

Hijab fabrik sifon
Kini lambakan selendang yang dijual sering menggunakan fabrik jenis ini kerana lebih ringan dan senang untuk dibentuk.

Penjagaan rapi harus ditekankan kerana kainnya yang mudah tercarik dan katakan tidak kepada berus apabila melakukan cucian terhadap tudung jenis ini. Untuk cucian mesin, masukkan sahaja tudung anda ke dalam beg basuhan khas pakaian dalam kerana tudung yang dibasuh akan lebih rapi dan selamat.

Hijab fabrik lycra
Fabrik jenis ini merupakan di antara fabrik yang popular dalam menghasilkan tudung ekspres seperti tudung Syria dan hijab 'awning'. Bagi yang tidak mempunyai 'awning', masukkan sahaja tudung anda ke dalam mesin basuh dan basuh seperti biasa dan sidai di penyidai baju dan gantung agar dapat mengurangkan aktiviti menggosok pakaian. Bagi yang mempunyai 'awning', basuhan tangan diperlukan dan gantung dengan penyidai sehingga kering.

Hijab fabrik pashmina
Jika hendak menjaga tudung ini, penjagaannya agak mudah dengan hanya rendamkan sahaja dengan air bersih dan campur sedikit pencuci selama 20 minit. Kemudian bilas dengan air dan sedikit pelembut fabrik dan keringkannya di kawasan teduh. Elakkan dari menjemur terus ke pancaran terik matahari kerana ia berisiko untuk merosakkan fabrik tudung anda.