TV3 perjelas isu pengunduran Zizan

TV3 perjelas isu pengunduran Zizan

9 Jul – Kontroversi penukaran hos rancangan hiburan Melodi masih lagi hangat diperkatakan kerana berpunca daripada masalah disiplin yang dihadapi oleh pengacara sebelum ini iaitu selebriti serba boleh Zizan Razak.

Walaupun pihak produksi rancangan terbabit sudah pun memberi kenyataan mereka berhubung isu ini, namun khabar angin berkenaan masih lagi bertiup kencang.

Enggan membiarkan isu ini terus menerus menjadi tohmahan dan pandangan negatif umum, Sherina Nordin selaku Pengurus Besar Kumpulan TV3 & TV9 tampil memberikan penjelasan sebenar dan berharap tidak lagi diperbesarkan.

"Zizan tidak lagi mengacarakan rancangan Melodi kerana kontrak artis serba boleh itu sudah tamat dan bukannya beliau disingkirkan akibat masalah disiplin. Jadi, hentikan segala spekulasi yang tidak benar," tegasnya seperti yang dipetik dari laporan Berita Harian.

Sementara itu, Sherina juga memberitahu bahawa penukaran pengacara adalah perkara biasa bagi melakukan perubahan dan pembaharuan terhadap program terbitan mereka.

"Kami sentiasa mahu memberikan yang terbaik kepada penonton. Selain isi kandungan, pengacara juga akan mengalami perubahan. Selepas kontrak Zizan tamat, kami memilih Sherry dan Zulin bagi mengendalikan program Melodi bersama Awal Ashaari," ujarnya.

Selain itu, beliau juga menjelaskan pihak produksi sangat berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan oleh dua hos baru tersebut yang cemerlang semasa sesi ujibakat dan gandingan mereka dilihat sangat mencuit hati ketika mengacarakan Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur dan segmen khas Anugerah Skrin yang lalu.

Mengakhiri penjelasan, beliau berkata penukaran pengacara Melodi dan program lain juga merupakan satu perkara biasa dalam industri hiburan dan tidak perlu menjadi satu isu yang besar untuk diperbahaskan dan berharap agar segala tohmahan dapat dihentikan.