U-Wei mahu filem "Hanyut" ditayangkan di Malaysia

U-Wei mahu filem "Hanyut" ditayangkan di Malaysia

3 Nov – Pengarah filem kontroversi U-Wei Saari berkata dia mahu filem terbaru arahannya "Hanyut" ditayangkan di Malaysia, tetapi mahu menunggu dana promosi berjumlah RM2 juta daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sebelum ditayangkan di negara ini.

Menurut U-Wei permohonan yang sudah dibuat pada pertengahan tahun lalu itu dikatakan sudah hampir dicapai.

"Saya tidak kisah terpaksa menanti lama asalkan dapat wang yang dikehendaki itu. Saya buat filem bukan untuk poket sendiri. Jumlah besar yang dilaburkan untuk filem ini pula setaraf dengan kualiti yang dihasilkan.

"Filem tanpa penonton tidak akan memberikan apa-apa makna. Sebab itu, saya memerlukan jumlah yang besar untuk tujuan promosi, agar aspek pemasarannya dapat dilakukan dengan terperinci," katanya kepada HIP.

Dalam pada itu, U-Wei berkata, dia tidak mahu terburu-buru mahu menayangkan filem terbitan Tanah Licin Sdn Bhd kerana mahu mempromosikan filem itu terlebih dahulu sebelum ditayangkan.

"Saya tidak mahu terburu-buru seperti penerbit lain yang tidak sabar-sabar mahu menayangkan buah tangan mereka bagaimanapun lupa, setiap buah perlu ada bijinya.

"Mereka bersikap mengabaikan hasil kerja dan kreativiti pengedaran hanya kerana tidak sabar untuk melihat filem masing-masin masuk ke panggung."

Sementara itu, filem yang menelan belanja lebih RM10 juta itu kerana menggunakan tenaga luar antaranya Ryuichi Sakamoto pemenang Anugerah Academy 1987 bagi filem "The Last Emperor", pemenang anugerah jurukamera terbaik Poland, Arkadiusz Tomiak dan ramai lagi.

Filem "Hanyut" ini bakal ditayangkan di 100 pawagam di Indonesia terlebih dahulu bermula Khamis ini.

[Sumber foto: baacak.blogspot]