Advertisement

Wanita berbulu lebat libidonya tinggi?



Wanita yang memiliki bulu berlebihan pada tubuh sering kali dikaitkan dengan libido yang tinggi. Hakikatnya, ia tidaklah selalu demikian. Perkara pertama yang perlu diketahui daripada wanita yang berbulu lebat ialah, adakah keadaan itu berlaku sejak dia dilahirkan atau ketika dia menginjak usia dewasa?

"Jika sejak lahir lagi bulunya sudah banyak, ini bermakna keadaan itu bersifat genetik dan memang ada keturunan seperti itu. Namun jika bulu-bulu hanya muncul setelah dewasa dan disertai pula dengan obesiti, ada kemungkinan ia berpunca daripada kegagalan tubuhnya membentuk hormon kewanitaan dengan sempurna," kata doktor pakar Obstetrik & Ginekologi O&G, Dr. Noroyono Wibowo yang juga Ketua Perhimpunan Obstetrik & Ginekologi Indonesia (POGI).

Apabila keadaan itu berlaku, maka kesannya cukup banyak.  Gangguan terhadap kitaran haid adalah satu daripadanya. Dan biasanya, gangguan haid ini mengakibatkan wanita berkenaan sukar mendapat anak.

Namun, wanita berbulu lebat tidak perlu risau kerana masalah itu masih boleh diatasi dan dirawat.

"Rawatannya ada tetapi wanita itu haruslah diperiksa terlebih dahulu.  Ini bagi mengenal pasti sama ada keadaan yang dihadapinya itu adalah kerana dia mengalami ketahanan insulin atau sebab lain,” jelas beliau yang lebih mesra dikenali sebagai Dr. Bowo.

Biasanya, wanita memilih untuk melakukan pelilinan bagi menanggalkan bulu-bulu berlebihan pada tubuhnya. Menurut Dr. Bowo, teknik itu tidak berbahaya namun kesannya hanyalah sementara kerana bulu akan tumbuh dan tumbuh lagi.

BACA: Sepuluh cara hilangkan perut buncit
BACA: Masih muda lagi, tetapi sudah botak
BACA: Kenal pasti tahi lalat yang boleh jadi kanser

Langkah yang terbaik ialah mencari dulu puncanya. Apakah keadaan itu suatu penyakit atau bukan?

"Wujud atau tidak suatu penyakit bukan hanya dilihat pada pertumbuhan bulu, tetapi juga tanda-tanda sampingannya. Misalnya, adakah ia diiringi dengan kemunculan jerawat atau tompok-tompok kecoklatan pada kulit," jelas beliau.

Sebaik-baiknya, wanita yang mempunyai masalah bulu lebat seperti lelaki ini, berunding dengan doktor.

"Pesakit boleh berjumpa doktor O&G yang akan melakukan pemeriksaan ultrasonografi atau pemeriksaan darah," katanya.

Tempoh masa rawatan pula bergantung kepada penyebabnya. Biasanya rawatan mengambil masa antara 6 bulan hingga setahun.

"Jadi, ia bergantung kepada hasil pemeriksaan.  Adakah hirsutisme itu bersifat patologi atau tidak? Bulu tumbuh di bahagian mana? Dan membentuk corak yang bagaimana?” ujarnya.

Sebagai gambaran, kebiasaannya bulu kemaluan wanita membentuk seperti seluar dalam. Namun jika bulu kemaluannya membentuk seperti seluar dalam terbalik dan dadanya ditumbuhi bulu, itu termasuk dalam corak seseorang lelaki.

"Jika hanya berbulu lebat namun coraknya masih keperempuanan, tidak mengapa. Jika seseorang wanita berbulu ketiak lebat tetapi dadanya tidak berbulu, pun tidak mengapa. Memang sifat semulajadinya begitu," jelas beliau.

Yang menjadi masalah ialah apabila bulu ketiaknya lebat, mempunyai bulu dada, dan corak bulu kemaluannya membentuk seperti seluar dalam terbalik lelaki.

Maka benarkah wanita berbulu lebat cenderung mempunyai libido tinggi? Menurut Dr. Bowo, pertumbuhan bulu secara berlebihan tidak semestinya meningkatkan libido.

"Libido bergantung kepada persepsi. Sekiranya sejak kecil lagi seseorang tidak diajar atau tidak dibimbing mengenai seks, maka pengetahuan tentang seksnya tidak akan timbul, " tegasnya.