Yazid Search dimasukkan ke ICU

Yazid Search dimasukkan ke ICU

3 Dis – Pemain dram kumpulan rock popular Search, Yazid Ahmad terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HAS) selepas mengadu sesak nafas dan telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) awal pagi semalam.

Yazid yang mengalami masalah buah pinggang, darah tinggi dan kencing manis dan paru-paru berair.

Menurut anak bongsunya Shafiqa Nurlis, pada jam 2 pagi bapanya itu telah mengejutkan dia setelah memberitahu mengalami kesukaran untuk bernafas dan sakit dada.

"Ketika itu saya lihat papa sukar untuk bercakap kerana tidak boleh bernafas dan dia meminta saya untuk membantu membawanya ke hospital," katanya seperti dipetik Harian Metro.

Yazid, 51, dan sekeluarga tiba di Johor Bahru untuk menghadiri majlis perkahwinan anak saudara Yazid.

Sementara itu, isteri Yazid, Ramlah Mat memberitahu bahawa suaminya yang masih berada di ICU berada dalam keadaan stabil.

"Alhamdulillah, dia sudah sedar dan Yazid perlu menjalani beberapa rawatan lagi. Mungkin dia akan dipindahkan ke hospital di Kuala Lumpur dalam masa terdekat ini," katanya kepada mStar.