Advertisement

Zarina Anjoulie tak mahu “disponsor” VIP


Artis ini memang dikenali dengan sikap “berani mati”. Bermulut lantang, seksi dan berani, itu predikat yang biasa diberi kepada pelakon Zarina Anjoulie. Turut dipanggil ratu kontroversi, kata Zarina, dia bukan suka dilabel begitu, namun gelaran tersebut sengaja diberikannya kepada khalayak. Jadi suka atau tidak, dia harus terima.

“Saya tak pernah suka orang melabel saya begitu. Tapi apa yang boleh saya buat. Pada saya sekarang ini, apa yang penting, saya tak mintak duit orang, menyusahkan orang dan saya bekerja untuk mencari duit sendiri,” ujar Zarina.

Tambahnya, sebab itu, selepas kecoh kisah dia dan Lufya berperang kerana bintang “Akademi Fantasia” tersebut mendakwa diraba lelaki kerana berwajah mirip dia, Zarina tidak lagi mahu dikaitkan dengan isu tersebut. Diminta mengulas tentang hubungan mereka sama ada sudah berbaik atau tidak, ringkas dia menjawab.

Tempelaknya: “Sejujurnya, saya tak mahu ada hubungan apapun dengan dia. Dari mula dia mendakwa diraba sehingga minta maaf kemudian provok saya semula dengan menujukan lagu buat saya, jadi apa motif sebenar dia? Jadi, saya rasa saya sudah tak mahu layan dia dan lebih baik memberi fokus terhadap karier saya.”

Zarina yang mula menjadi perhatian selepas terbabit dengan drama “Anak Pontianak” itu kemudian memberitahu dia juga terlalu sibuk untuk memikirkan hal remeh seperti kontroversi yang selalu tercetus. Baginya, tahun ini dah tahun hadapan menjadi tahun yang sibuk buatnya.

“Tahun ini saya terbabit dengan tiga buah filem. Dua daripada bersama pengarah Mamat Khalid iaitu “Amukan Buas Frankestein Tempatan” dan “Amir Dan Lokman Ke Laut”. Malah saya juga terbabit dengan filem milik KRU iaitu “Ular”. Saya rasa lebih baik saya layan kerja daripada layan benda remeh,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, Zarina juga kini giat berniaga. Mengaku memang meminati bidang perniagaan yang diberi nama Ched Solid Perfume. Ia merupakan  perfume balm dan boleh dijadikan lipgloss serta deadorant. Dia berharap agar perniagaan tersebut sukses.

Tutup cerita, kata Zarina, jadual tahun ini dah tahun hadapan buatnya memang padat. Jadi pada sesiapa yang ingat dia tak laku selain sibuk cari publisiti murahan atau kontroversi, mereka silap.

Ini kerana dalam diam-diam, tanpa publisiti, karier seni berjalan lebih baik dan kini dia telah pun bergelar usahawan.

Simpulnya ringkas: "Apa yang penting, saya cari duit sendiri, tak perlu disponsor Datuk atau cari boyfriend kaya untuk hidup mewah."