Ziana Zain bakal adakan konsert September ini

Ziana Zain bakal adakan konsert September ini

15 Apr – Penyanyi bersuara lantang, Ziana Zain bakal mengadakan konsert meganya setelah lebih dua dekat bergelar sebagai anak seni yang diberi nama "I Am Ziana Zain" pada 27 September depan.

Konsert yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) ini merupakan satu impian yang menjadi kenyataan buat penyanyi berusia 46 tahun itu.

"Saya bersyukur dan sangat berbesar hati kerana akhirnya impian saya selama ini akan menjadi kenyataan apabila pihak penganjur menyatakan hasrat mereka untuk merealisasikan konsert saya.

"Saya tak sangka pada usia begini, masih ada pihak yang percaya dengan kewibawaan saya. Konsert ini juga adalah hadiah saya kepada para peminat saya yang tidak jemu-jemu menyokong saya saya. Ini juga berkat doa mereka yang sentiasa menyuarakan hasrat mahu menyaksikan konsert saya," katanya kepada sebuah portal hiburan tempatan.

Menurut Ziana, dia memilih negeri Melaka sebagai lokasi konsertnya kerana mahu memberi kelainan dan berhasrat membawa konsertnya ke negeri lain dan mungkin kemuncaknya akan diadakan di Kuala Lumpur kelak.

"Semoga konsert di Melaka ini akan membuka jalan lebih luas untuk saya pada masa akan datang."

Konsert yang menelan belanja sebanyak RM730,000 itu akan diketui oleh pengarah muzik terkemuka, Aubrey Suwito akan menyaksikan Ziana akan menyampaikan sebanyak 22 lagu hits dari album pertama sehingga terkini.

Dalam pada itu, tiket-tike untuk konsert "I Am Ziana Zain" akan dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu Platinum berharga RM325, Diamond (RM255), Gold (RM155) dan silver (RM95).

Istimewa, seramai 100 pembeli pertama tiket Platinum berpeluang beramah-mesra dan melakukan aktiviti menarik bersama Ziana Zain, sehari selepas konsert berlangsung.

Tiket-tiket boleh didapati menerusi www.TicketPro.com.my atau beli terus di pejabat urusan Golden Earth Pictures. Selain itu tiket juga dijual di Melaka International Bowling Center (MIBC), Melaka. Bagi peminat yang membuat pembelian terus dari pejabat urusan Golden Earth Pictures bermula 14 April hingga 31 Mei akan mendapat potongan harga sebanyak 10%.