Advertisement

Zizan rancang kahwini kekasih Januari 2015

Zizan rancang kahwini kekasih Januari 2015

17 Apr – Pelawak dan pengacara popular Zizan Razak berhasrat untuk mengahwini kekasihnya, aktres Emma Maembong pada penghujung tahun ini atau awal tahun hadapan.

Menurut laporan dari Media Hiburan, Zizan berkata, "Kami mula serius sebagai kekasih pada 24 Februari 2013. Itu pun selepas dia menyertai Wire Frame Entertainment.

"Soal kahwin, insyaAllah bulan Januari 2015. Ini kerana kami perlu melihat segala kontrak yang kami ada dahulu," ujarnya.

Emma merupakan salah seorang artis di bawah syarikat pengurusan Wire Frame Entertainment yang dimiliki oleh Zizan dan pengurusnya, Marina Juki.

Jika sebelum ini aktres berusia 22 tahun itu dikhabarkan bakal keluar dari Wire Frame, kini Zizan dikatakan bakal mengikut jejak langkah kekasihnya.

Namun Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak memberitahu semuanya masih dalam perbincangan dan belum ada sebarang kata putus lagi.

"Buat masa sekarang, hal ini masih dalam perbincangan. Ia adalah sebagai langkah permulaan untuk saya bergerak sendiri sebelum mendirikan rumah tangga.

"Selepas berkahwin pastinya akan ada tanggungjawab baru. Kalau bukan sekarang, bila lagi saya nak mula untuk bergerak sendiri?," jelasnya.

Ditanya jika keputusannya untuk mengundur diri disebabkan ada pergaduhan dengan Marina Juki, pelawak berusia 30 tahun itu menafikan perkara tersebut.

"Kami tak gaduh. Cuma saya yakin yang saya boleh menguruskan kerjaya sendiri selepas ini.

"Tentang status saya dengan syarikat itu, semuanya masih dalam perbincangan. Sama ada saya ambil syarikat itu atau serahkan kepadanya," akhiri Zizan.