Futsal mengakibatkan serangan jantung mengejut?


Bekas pembantu jurulatih kelab bolasepak Indonesia, Sriwijaya FC, Setyo Cipto meninggal dunia akibat serangan jantung secara mengejut ketika bermain futsal pada awal Disember 2012.  Kes sebegitu bukan yang pertama kali berlaku.  Lima tahun lalu, pelawak Basuki juga meninggal dunia selepas bermain futsal.

Justeru, adakah itu bermakna yang futsal berisiko mengakibatkan serangan jantung mengejut?

"Sukan futsal bukanlah faktor risiko timbulnya serangan jantung mengejut," tegas doktor pakar perubatan sukan dari Universiti Andalas, Dr. Afriwardi.

Akan tetapi jelas beliau, aktiviti-aktiviti fizikal yang mendadak dan berat termasuk futsal, memang boleh mengakibatkan serangan jantung secara mengejut. "Ini berlaku terutamanya dalam kalangan mereka yang memang mempunyai faktor risiko seperti hipertensi, hiperlipidemia, penyakit jantung koronari dan orang yang tidak terlatih," lanjut doktor bidang sains bioperubatan itu.

BACA: Lapan cara cegah gastrik
BACA: Jenis sakit kepala yang membahayakan
BACA: Enam punca perut buncit

Menurut Dr. Afriwardi, secara umumnya serangan jantung mengejut selepas bersenam berlaku kerana aktiviti itu tidak dilakukan secara profesional. Apabila senaman dilakukan dalam dos atau kuantiti yang berlebihan, keperluan pengoksigenan tisu otot jantung menjadi semakin bertambah.

"Keadaan ini boleh menimbulkan gangguan terhadap jantung dan mengakibatkan kematian," jelasnya.
Dr. Afriwardi menyarankan agar setiap orang memberi perhatian terhadap kaedah bersenam.  Bermainlah futsal secara baik, betul, teratur dan berpada-pada.  Selain itu, setiap pemain futsal harus mengamalkan dua perkara; pertama, membuat aktiviti memanaskan badan sebelum bermain dan menamatkan permainan dengan aktiviti menyejukkan badan.

"Perkara lain yang perlu diperhatikan adalah tempoh permainan. Sering terjadi oleh kerana leka bermain, permainan berlanjutan sehingga melebihi dua jam," ujar Dr. Afriwardi.

Menurut beliau, tempoh yang disyorkan untuk bermain futsal amat bergantung kepada keadaan dan kemampuan seseorang pemain. Ertinya, pemain yang terlatih boleh bermain lebih lama. "Berbeza dengan masyarakat biasa yang tidak terlatih, mereka disyorkan agar bermain tidak lebih daripada sejam. Itupun mereka harus bermain dengan tahap kesungguhan yang rendah dulu. Apabila sudah biasa bermain, barulah kesungguhan itu ditingkatkan sedikit demi sedikit, "jelasnya.



BACA: Kenal pasti tahi lalat yang boleh jadi kanser
BACA: Tips untuk mengatasi kulit ketiak menghitam


Bermain futsal ialah sukan yang paling mudah dan menyeronokkan pada ketika ini. Futsal tidak memerlukan ramai pemain. Aktiviti ini juga boleh dilakukan di dalam bangunan yang terlindung atau yang terdedah pada sinaran matahari. Gelanggang futsal juga mudah ditemui baik berhampiran pejabat mahu pun di kawasan kediaman sekali gus menjadikannya rekreasi yang popular. Kos untuk bermain futsal juga berpatutan. Biasanya mereka akan sama-sama berkongsi wang untuk menyewa tempat bermain.

Maka tidak hairanlah, penggemar sukan futsal ini mempunyai latar belakang ekonomi dan usia yang berbagai-bagai.

Menurut Dr. Afriwardi, aspek usia tidak membatasi keupayaan seseorang bermain futsal. "Namun sebaik-baiknya, mereka yang berumur 45 tahun ke atas tidak bergiat dalam sukan itu. Ini kerana pada usia itu proses penuaan mula berlaku," kata doktor yang memperoleh kepakaran dalam perubatan sukan dari Universiti Indonesia itu.

Perlu diketahui bahawa beban anaerobik sukan futsal adalah lebih berat berbanding bola sepak konvensional. Sukan futsal dimainkan di gelanggang yang sempit justeru dimainkan dengan tempo yang relatif lebih pantas berbanding bola sepak konvensional yang dimainkan di padang yang lebih luas.

Jelas Dr. Afriwardi, semua orang yang mempunyai risiko gangguan kardiovaskular perlu mengelakkan aktiviti fizikal yang memerlukan kelincahan serta ketangkasan pemain seperti futsal dan badminton.

Apatah lagi jika sukan itu menuntut pemainnya banyak menggunakan tenaga anaerobik.

"Jadi bagi orang yang mempunyai masalah penyakit jantung koronari dan hipertensi yang tidak terkawal, mereka disyorkan agar tidak bermain futsal," tegas beliau.